TANJUNG PIAI – UMNO Johor menegaskan pendirian untuk terus bergerak secara solo dan bersedia bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, sekali gus menepis sebarang spekulasi berhubung kemungkinan kerjasama politik di peringkat negeri.
Kenyataan itu disuarakan Ketua Penerangan UMNO Johor yang juga Ketua Bahagian UMNO Tanjung Piai, Md Israk Abdullah susulan penegasan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bahawa persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan adalah berlandaskan tanggungjawab kenegaraan demi memastikan kestabilan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurut beliau, kenyataan tersebut memperjelaskan bahawa kerjasama politik di peringkat Persekutuan tidak menjejaskan identiti, kekuatan serta autonomi politik BN di peringkat negeri, khususnya di Johor yang mempunyai landskap politik tersendiri.
UMNO Johor turut menegaskan mandat besar yang diberikan rakyat kepada BN dalam PRN lalu membuktikan keyakinan terhadap kestabilan pentadbiran negeri serta kemampuan gabungan itu mentadbir tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pakatan lain.

“Johor mempunyai acuan politiknya yang tersendiri. Mandat besar rakyat yang diberikan kepada Barisan Nasional pada PRN lalu adalah atas keyakinan terhadap kestabilan, rekod pentadbiran dan kemampuan Barisan Nasional mentadbir negeri tanpa bergantung kepada mana-mana gabungan lain,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa UMNO Johor akan mengorbankan identiti perjuangan politiknya atau mewujudkan formula “Kerajaan Perpaduan” di peringkat negeri.
Katanya, isu seperti “UMDAP” atau tanggapan bahawa UMNO Johor akan meleburkan identiti perjuangan demi kepentingan politik jangka pendek tidak timbul kerana kerajaan sedia ada masih memiliki mandat kukuh daripada rakyat Johor.
Selain memperkukuhkan kedudukan politik, UMNO Johor menegaskan fokus utama ketika ini adalah memastikan agenda pembangunan negeri terus dipacu, termasuk usaha menarik lebih banyak pelaburan, memperkasa ekonomi golongan muda dan memperluaskan bantuan kebajikan rakyat.
“Rakyat Johor mahukan kestabilan, kepimpinan yang bekerja dan hala tuju yang jelas. Atas asas itu, Barisan Nasional Johor akan terus memperkukuhkan gerak kerja parti dan turun ke bawah mendekati rakyat sebagai satu pasukan yang bersatu dan yakin dengan kekuatan sendiri,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga akan terus diperkasakan bagi memastikan kestabilan politik diterjemahkan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.






