ECRL pelengkap struktur ekonomi Pahang

KUANTAN – Kepelbagaian projek infrastruktur di Pahang yang kini melalui fasa pembangunan bakal memberi impak besar kepada rakyat di negeri itu secara langsung menerusi limpahan ekonomi dalam lima hingga 10 tahun mendatang.

Ini manifestasi daripada projek pemangkin transformasi negeri antaranya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi pada Januari 2027, dipacu oleh pendekatan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dalam usaha merancakkan ekosistem ekonomi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, projek ECRL bukan sekadar landasan kereta api sepertimana diperkatakan ramai, ia sebaliknya gagasan masa depan negeri membabitkan tujuh stesen strategik iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, KotaSAS, Pelabuhan Kuantan dan Cherating.

Beliau menegaskan, tumpuan kerajaan negeri adalah untuk mencipta peluang pekerjaan, membina bandar baharu di sepanjang laluan ECRL dan menghidupkan ekonomi generasi masa depan.

“Melalui pendekatan seperti TOD, pembangunan bandar secara bersepadu di sekitar stesen ECRL dapat dijayakan contohnya projek Pangsapuri Pahangku, komersial perhotelan dan perniagaan serta kemudahan awam seperti hospital.

“Ini termasuk Pembangunan Berhampiran Transit, Pembangunan Berorientasikan Kargo dan Pelabuhan Kuantan termasuk Inland Port yang bakal menjadi hab strategik untuk mengumpul, menyimpan serta mengendalikan kargo dari zon perindustrian menggunakan ECRL.

“Kita mewujudkan perumahan, kawasan komersial, hospital dan taman perindustrian. Ini bermakna pembangunan tidak terhenti di bandar besar sahaja.

“Kita tidak mahu pembangunan hanya cantik di atas kertas. Ia perlu menjadi sesuatu yang rakyat boleh rasa, guna dan banggakan dari jaringan rel masa depan hingga peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Intervie x Podcast Sinar Harian dihoskan Haizir Othman di Kompleks Karangkraf.

Ditanya tentang cabaran terbesar menguruskan tiga portfolio kementerian serentak di Pahang, Razali secara realistik berpendapat bahawa setiap daripadanya amat kritikal dan menuntut tindakan segera dalam bentuk yang berbeza.

Misalnya dari sudut kerja raya, beliau melihat rakyat menginginkan hasil cepat dan nyata seperti pembaikan jalan, jambatan uzur serta projek terbengkalai, malah tekanannya tinggi kerana melibatkan persepsi langsung terhadap prestasi kerajaan.

“Daripada sudut pengangkutan pula,cabarannya adalah keterhubungan dan keadilan akses khususnya bandar serta luar bandar di mana kita berdepan kekangan kos, faktor geogra dan keperluan menyelaras pelbagai agensi.

“Kesihatan yang paling sensitif kerana ia melibatkan nyawa manusia. Cabarannya bukan cuma fasiliti tetapi tenaga kerja, kesedaran rakyat serta memastikan perkhidmatan sampai ke kawasan pedalaman.

“Di sinilah, silap kecil pun boleh memberi kesan besar kepada rakyat. Cabaran besar juga tentang bagaimana mahu menyatukan ketiga-tiga portfolio ini dalam satu ekosistem yang bersepadu,” tambah beliau.

Sinergi jelas Kerajaan Persekutuan, Pahang Pembangunan infrastruktur dan kemudahan kesihatan di Pahang pada hakikatnya tidak boleh bergerak sendirian, sebaliknya ia memerlukan satu sinergi yang jelas, tegas serta berkesan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Di peringkat Kerajaan Negeri Pahang, jelas Razali, entiti itu sentiasa bertindak selaku pemudah cara dalam konteks pelaksanaan sama ada melibatkan pengambilan tanah, kelulusan teknikal, kebenaran merancang mahupun penyelarasan di lapangan.

Beliau berpendapat bahawa kebanyakan projek boleh terhenti begitu sahaja pada fasa awal tanpa peranan yang dimainkan kerajaan negeri.

Bagi peringkat Kerajaan Persekutuan pula, kata beliau, ia memegang tanggungjawab besar dalam menyediakan peruntukan dan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi, khususnya kepada tiga sektor di bawah seliaannya iaitu kesihatan, pengangkutan serta infrastruktur asas yang menjadi nadi kesejahteraan rakyat.

  • Related Posts

    Sektor kesihatan Sarawak harap peruntukan Persekutuan terus diperkukuh – Dr Sim

    Oleh: Andy Anderson KUCHING – Perubahan demografi yang sedang berlaku pada masa ini dijangka memberikan tekanan yang besar kepada sistem penjagaan kesihatan, khususnya dalam aspek penyakit tidak berjangkit, penjagaan komuniti,…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca
    Program Outreach Sejahtera MADANI bantu belia eKasih bina masa depan cerah

    MERSING – Kerajaan MADANI terus komited dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pelaksanaan Program Outreach di bawah Inisiatif Sejahtera MADANI. Program berkenaan dihadiri Pengarah Pembangunan Negeri…

    Lebih lanjut

    teruskan membaca

    Perlu dibaca

    Naratif UEC, tahfiz telah disongsangkan dengan politik kebencian terhadap kerajaan

    Naratif UEC, tahfiz telah disongsangkan dengan politik kebencian terhadap kerajaan

    Sektor kesihatan Sarawak harap peruntukan Persekutuan terus diperkukuh – Dr Sim

    Sektor kesihatan Sarawak harap peruntukan Persekutuan terus diperkukuh – Dr Sim

    Program Outreach Sejahtera MADANI bantu belia eKasih bina masa depan cerah

    Program Outreach Sejahtera MADANI bantu belia eKasih bina masa depan cerah

    Sarawak pacu ekonomi hijau ASEAN, perkasa pendidikan dan teknologi

    Sarawak pacu ekonomi hijau ASEAN, perkasa pendidikan dan teknologi

    ECRL pelengkap struktur ekonomi Pahang

    ECRL pelengkap struktur ekonomi Pahang

    Isu UEC: Keputusan kerajaan dibuat secara seimbang – PMX

    Isu UEC: Keputusan kerajaan dibuat secara seimbang – PMX