Kerajaan Perpaduan tidak perlu ‘abang besar’ jika mahu kekal stabil

KUANTAN – Kestabilan dalam hubungan antara parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hanya boleh dikekalkan jika semua pihak mengamalkan sikap saling hormat-menghormati.

Penubuhan Kerajaan Perpaduan itu sendiri pada asasnya adalah untuk memastikan sebuah kerajaan yang mewakili semua kepentingan kaum dan agama dapat ditubuhkan.

Bahkan atas kebijaksanaan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang pada ketika itu menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Agong, menyaksikan Kerajaan Perpaduan itu menjadi kenyataan.

Hasrat Al-Sultan Abdullah adalah baginda ingin melihat negara ini dan rakyatnya dapat hidup dalam harmoni dengan pelbagai bangsa dan kebudayaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berpandangan, tidak ada mana-mana parti seharusnya merasakan diri mereka sebagai ‘abang besar’ berbanding parti lain.

“Persefahaman ini sepatutnya sudah jelas kerana setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai peranan dalam menjaga keutuhan kerajaan sedia ada.

“Saya fikir kenyataan-kenyataan yang kurang bijak dan boleh mencetuskan ketidakselesaan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, perlu dielakkan.

“Ia bertujuan bagi menjaga keharmonian hubungan dan dalam masa yang sama menjaga perasaan penyokong parti berkaitan serta memelihara kepentingan rakyat,” katanya kepada The Malaysia Press.

Beliau berkata demikian bagi mengulas teguran dibuat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terhadap Penasihat DAP, Lim Guan Eng.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menerusi satu kenyataan semalam menasihati Guan Eng agar lebih cermat dalam mengeluarkan pandangan terhadap UMNO.

“Saya ingin mengingatkan Lim Guan Eng agar tidak menjadi batu api yang mampu mencetuskan masalah lebih besar.

“Jika beliau mempunyai pandangan negatif terhadap parti ini, beliau perlu memahami bahawa ramai dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai pandangan yang sama terhadap beliau,” kata Wan Rosdy.

Guan Eng sebelum itu dilaporkan berkata UMNO dan BN sebagai ‘rakan yang tidak boleh dipercayai’ dalam Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan berkenaan dibuat Ahli Parlimen Bagan sebagai merujuk kepada krisis yang berlaku di Negeri Sembilan.

Ahmad Irshadi dalam masa yang sama menjelaskan bahawa perselisihan pandangan dan berbalas serangan secara terbuka antara pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak membantu memperkukuh hubungan sedia ada.

Katanya, setiap pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai tanggungjawab penuh untuk setiap perbuatan dan perkataan yang mereka keluarkan.

“Saya berharap semua pemimpin dapat berfikir secara profesional dan matang sebelum mengeluarkan apa saja kenyataan.

“Kena nilai dan lihat secara mendalam, mengambil kira kesan dan risiko terlebih dahulu… jangan terlalu menjadi mangsa kepada permainan emosi jika akhirnya mengeluarkan perkataan yang tidak rasional,” katanya.

Related Posts

SBST Sabah terima reaksi positif pelbagai pihak – Vivian

KOTA KINABALU – Pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Perhentian (Stage Bus Service Transformation – (SBST)) di Sabah menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat, wakil rakyat serta rakyat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jabatan Pertanian Perak perkasa wanita dalam sektor pertanian

PARIT – Jabatan Pertanian Negeri Perak terus memperkukuh usaha memperkasa golongan wanita dalam sektor pertanian menerusi penganjuran Kursus Asas Penanaman Sayur-Sayuran yang disertai 30 peserta daripada Lembaga Kebajikan Perempuan Islam…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

MTEN perkukuh persediaan negara berdepan El Nino

SBST Sabah terima reaksi positif pelbagai pihak – Vivian

SBST Sabah terima reaksi positif pelbagai pihak – Vivian

Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

Malaysia, Turkmenistan perluas kerjasama strategik bagi jamin bekalan tenaga

Jabatan Pertanian Perak perkasa wanita dalam sektor pertanian

Jabatan Pertanian Perak perkasa wanita dalam sektor pertanian

KDN tegaskan DPP bukan laluan peroleh kewarganegaraan atau PR

KDN tegaskan DPP bukan laluan peroleh kewarganegaraan atau PR

Perikatan Nasional kini jadi rebutan Pas dan Bersatu

Perikatan Nasional kini jadi rebutan Pas dan Bersatu