
SKUDAI – Beberapa kawasan di Skudai dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan pada petang Rabu, sekali gus menjejaskan kehidupan penduduk setempat dengan kesan yang disifatkan sebagai besar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim.
Menurut beliau, pihaknya bersama pasukan kejuruteraan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah turun padang sejurus kejadian untuk meninjau keadaan, mengenal pasti punca serta memantau tindakan susulan oleh agensi berkaitan.
“Walaupun kesan banjir kali ini besar, ia bukan alasan untuk kita berhenti. Sebaliknya, ia menguatkan lagi tekad kita untuk memperjuangkan penyelesaian jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Marina menegaskan bahawa masalah banjir di Skudai bukan isu baharu, malah telah berlarutan selama puluhan tahun dan melibatkan pelbagai faktor termasuk sistem saliran yang tidak menyeluruh, pembangunan pesat, perubahan iklim serta sikap tidak bertanggungjawab dalam pengurusan sisa.
Beliau menjelaskan bahawa isu ini turut berkait dengan sistem saliran di kawasan bekas kem tentera serta kapasiti aliran air di bahagian hilir yang bersambung ke Sungai Skudai.
“Ini bukan masalah setempat, tetapi melibatkan keseluruhan lembangan sungai. Air yang mengalir ke Skudai datang dari kawasan hulu seperti Kulai sebelum ke hilir hingga ke Selat Johor. Kapasiti sungai dan faktor pasang surut turut memainkan peranan penting,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap ketiadaan perancangan pembinaan kolam tadahan di kawasan bekas kem tentera sebelum ini, walaupun pelbagai perbincangan dan tinjauan telah dilakukan.
Dalam masa sama, Marina menegaskan bahawa isu banjir perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang pembangunan berskala besar dilaksanakan, termasuk pembinaan jalan susur masuk ke Tun Aminah, pembangunan semula kem Skudai dan projek Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2).
“Jika masalah ini tidak diselesaikan sekarang, pembangunan masa depan hanya akan memburukkan keadaan dan menjadi musibah kepada rakyat,” katanya.
Setakat ini, beliau memaklumkan bahawa sebanyak kira-kira RM40 juta peruntukan telah berjaya diperoleh bagi projek tebatan banjir di kawasan berkenaan. Namun, pelaksanaan projek tersebut masih berada pada pelbagai peringkat termasuk siap, dalam pembinaan dan perancangan.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan bahawa kejadian limpahan air di kawasan Hang Tuah berpunca daripada sistem takungan bawah tanah (OSD) yang belum siap sepenuhnya, selain faktor hujan berterusan yang menyebabkan takungan menjadi penuh.
“Apabila projek ini siap sepenuhnya pada hujung Mei, kita menjangkakan keadaan akan bertambah baik. Namun, aliran air dari kawasan lain seperti Jalan Gelang Patah masih berisiko memberi tekanan ke kawasan seperti Taman Nesa dan Zapin,” katanya lagi.
Di kawasan Zapin pula, walaupun sebahagian projek telah siap, bahagian hulu yang belum dinaik taraf masih menjadi punca aliran air deras yang membawa kepada kejadian banjir.
Sehubungan itu, Marina menegaskan keperluan untuk memastikan semua projek dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu, termasuk mempercepatkan pelaksanaan baki projek kritikal di kawasan seperti Zapin 3 dan belakang Ronggeng 16.
Tambah beliau, Projek Pembangunan Bersepadu Sungai Skudai bernilai kira-kira RM99 juta kini masih dalam peringkat kajian dan perancangan, sekali gus menjadi antara faktor mengapa masalah banjir masih berulang.
“Saya akan terus mendesak pihak majlis dan agensi berkaitan untuk mempercepatkan peruntukan serta pelaksanaan projek-projek ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Marina turut mengakui perasaan kecewa dan tekanan yang dirasai penduduk yang terjejas, sambil menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan isu berkenaan.
“Saya tidak pernah berundur selama empat tahun ini, dan hari ini juga saya tidak akan berundur. Kita perlu bergerak ke hadapan dengan penyelesaian yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau turut memohon maaf kepada semua penduduk yang terkesan akibat kejadian banjir tersebut.



