
KOTA BELUD – Usaha memperkukuh hak dan kedudukan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diberi perhatian secara konstruktif apabila isu tuntutan 40 peratus hasil cukai negeri diteliti dengan lebih menyeluruh dan berhemah.
Pengarah Jabatan Komunikasi Zon Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan, Milus Alu @ Abd Wahad menegaskan hak tersebut sememangnya termaktub dalam MA63 dan diiktiraf sebagai hak Sabah.
“Pelaksanaannya memerlukan penelitian mendalam memandangkan ia melibatkan aspek teknikal yang kompleks.
“Perbincangan yang berlangsung sejak beberapa dekad lalu kini membuka ruang kepada pendekatan yang lebih tersusun dan realistik.
“Kita mahu memastikan setiap keputusan dibuat secara teliti dan bertanggungjawab, jadi pendekatan yang lebih komprehensif amat penting,” katanya ketika berucap dalam satu program bersama komuniti di Kota Belud.

Tambah Milus, kerajaan pusat menunjukkan komitmen berterusan dalam menunaikan tanggungjawab tersebut dengan pelbagai perbincangan teknikal sedang dijalankan bagi mencari kaedah pelaksanaan terbaik.
Dalam masa yang sama katanya, pandangan pelbagai pihak juga diambil kira bagi memastikan penyelesaian yang dicapai bersifat praktikal dan berorientasikan masa depan.
“Antara cadangan yang diketengahkan termasuk memberi keutamaan kepada bayaran semasa sebagai langkah awal yang lebih mudah dilaksanakan, tanpa menjejaskan kepentingan jangka panjang Sabah.
“Pendekatan ini dilihat mampu mempercepatkan manfaat kepada rakyat, di samping mengelakkan isu yang lebih kompleks berkaitan tuntutan lampau daripada terus berlarutan.
“Secara keseluruhannya, usaha menangani isu ini mencerminkan kesungguhan semua pihak untuk mencapai penyelesaian yang adil, telus dan berdaya tahan,” tegasnya.
Milus turut berkata, dengan penelitian rapi dan kerjasama berterusan antara kerajaan negeri dan persekutuan, harapan untuk merealisasikan hak Sabah di bawah MA63 dilihat semakin positif dan berada di landasan yang tepat.






