
IPOH – Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad menafikan dakwaan kononnya Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan dalam masa terdekat termasuk pada Julai ini, seperti dilaporkan dalam analisis sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini.
Menurut beliau, laporan berkenaan mengejutkan kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan di mana-mana platform rasmi mahupun dalam kalangan kepimpinan kerajaan negeri.
“Saya sendiri membaca artikel tersebut dan terkejut kerana ia tidak pernah dibincangkan. Untuk mengadakan PRN, Menteri Besar perlu menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT (DKP) 2025–2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak menegaskan, prosedur pembubaran DUN bukan sesuatu yang mudah dan tertakluk kepada perkenan Sultan.
Malah, katanya, sekiranya cadangan pembubaran tidak mendapat perkenan, ia boleh dianggap sebagai peletakan jawatan Menteri Besar.
“Saya tidak akan menghadap Tuanku untuk membubarkan dewan. Tambahan pula, kita masih mempunyai lebih setahun untuk meneruskan mandat lima tahun yang telah diberikan.
“Jadi secara peribadi, tiada kemungkinan berlaku PRN di Perak,” katanya lagi.
Sebelum ini, laporan analisis berkenaan mendakwa Perak berpotensi dijadikan ‘ujian berisiko rendah’ bagi menilai tahap sokongan pengundi, khususnya Melayu, terhadap Kerajaan MADANI, selain menguji kekuatan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.
Laporan itu turut menyifatkan PRN di Perak sebagai indikator awal terhadap keputusan pilihan raya yang lebih besar di peringkat nasional.
Bagaimanapun, Saarani menegaskan spekulasi tersebut tidak berasas dan tidak mencerminkan pendirian sebenar kerajaan negeri ketika ini.





