
KUALA LUMPUR – Kerajaan merancang mewujudkan stok penimbal strategik nasional bagi memastikan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan negara kekal mencukupi susulan kesan krisis tenaga global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan jangka sederhana dan panjang kerajaan bagi memperkukuh keterjaminan bekalan sektor kesihatan negara.
Menurut beliau, kerajaan juga sedang meneliti beberapa inisiatif lain termasuk peralihan penggunaan bahan mentah tertentu daripada resin kepada polimer bagi produk tertentu, selain memperkasa industri farmaseutikal dan peranti perubatan tempatan.
Beliau berkata, kerajaan turut membangunkan dasar keterjaminan ubat negara menerusi inisiatif MyMedSecure bagi memastikan bekalan ubat terus stabil dan terjamin.
“Krisis tenaga global bukan hanya menjejaskan minyak dan logistik, tetapi juga bekalan ubat dan peranti perubatan.
“Gangguan rantaian bekalan global boleh menyebabkan kekurangan bahan mentah penting seperti API, petroleum dan gas etilena oksida, sekali gus menaikkan kos pengilangan dan penghantaran,” katanya pada taklimat krisis tenaga global yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Akmal Nasrullah berkata, sebagai langkah segera, kerajaan akan melaksanakan Laluan Akses Khas bagi memastikan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan kritikal sentiasa mencukupi di pasaran tempatan.
Selain itu, kerajaan juga akan melaksanakan pemantauan stok ubat secara berpusat, mempelbagaikan sumber import, mengaktifkan pelan gerak balas kecemasan serta menetapkan beberapa item tertentu sebagai barangan kawalan.
Beliau berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung hari ini.
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kerajaan akan terus bertindak secara teratur dan menyeluruh untuk memastikan rakyat terus dilindungi, bekalan strategik negara terus terjamin dan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan.
“Fokus kita ialah mengurus kesannya, mengurangkan risikonya dan memastikan rakyat dapat melalui tempoh mencabar ini dengan sebaik mungkin,” katanya.






