
MIRI — Keadaan jalan menuju ke Long Lellang kini berada pada tahap kritikal selepas beberapa struktur pembetung mengalami kerosakan teruk, sekali gus menyebabkan laluan ke kawasan tersebut terputus hubungan buat sementara waktu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, beliau dimaklumkan oleh Ketua Kampung Long Lellang A berhubung keadaan dua pembetung yang telah rosak teruk, manakala satu lagi berada dalam keadaan berisiko runtuh pada bila-bila masa.
“Keadaan ini telah menyebabkan penduduk terputus hubungan selama beberapa hari, sekali gus menjejaskan pergerakan serta keperluan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lellang yang kini berdepan kekurangan bekalan makanan untuk pelajar asrama.
“Situasi di SK Long Lellang amat membimbangkan kerana bekalan makanan untuk pelajar asrama semakin berkurangan. Sekiranya penghantaran bekalan ini terus tertangguh, ia akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran,” jelas beliau.
Menurutnya, majoriti pelajar di sekolah berkenaan merupakan penghuni asrama yang bergantung sepenuhnya kepada pihak sekolah untuk keperluan harian mereka.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan telah segera menghubungi Residen Bahagian Miri serta Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri bagi tindakan segera.
“Saya telah meminta pihak berkenaan untuk mengambil tindakan segera termasuk memohon peruntukan kecemasan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan pembetung dilaksanakan dengan segera,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa projek menaik taraf jalan Long Lellang di bawah Agensi Pembangunan Highland (HDA) kini sedang berada di peringkat tender dan dijangka dianugerahkan kepada kontraktor yang berjaya dalam masa terdekat, dengan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula sekitar awal Jun tahun ini.
Bagaimanapun, Gerawat menegaskan bahawa langkah segera perlu diambil bagi memastikan laluan ke Long Lellang dapat dipulihkan tanpa sebarang kelewatan.
“Keutamaan kita adalah memastikan bekalan keperluan asas seperti makanan dapat dihantar kepada penduduk, serta perkhidmatan ke sekolah dan klinik tidak terjejas,” ujarnya.
Beliau turut menggesa semua pihak berkaitan untuk bekerjasama dalam menangani isu tersebut demi kesejahteraan penduduk di kawasan pedalaman itu.
Foto: The Borneo Post






