
KAPTEN Manchester City, Bernardo Silva, akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini selepas kontraknya tamat, demikian disahkan penolong pengendali, Pep Lijnders.
Pemain antarabangsa Portugal berusia 31 tahun itu bakal berpisah sebagai ejen bebas selepas sembilan tahun bersama kelab berkenaan, tempoh yang menyaksikannya memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris serta trofi Liga Juara-Juara Eropah.
“Setiap kisah indah pasti berakhir. Saya harap dia menikmati bulan-bulan terakhir ini – hanya tinggal enam minggu – dan mendapat perpisahan yang baik.
“Dia layak menerima semua penghargaan itu,” kata Lijnders selepas kemenangan 4-0 ke atas Liverpool dalam suku akhir Piala FA.
Sebelum ini, pengendali City, Pep Guardiola, yang tidak berada di tepi padang akibat penggantungan, menyifatkan Silva sebagai ‘tidak boleh digantikan’ dalam skuadnya.
Silva menyertai City dari AS Monaco pada tahun 2017 dengan nilai perpindahan 43.5 juta pound (RM232.29 juta) dan sejak itu membuat 450 penampilan bersama kelab berkenaan.
Dikenali dengan kepelbagaian taktikal dan etika kerja konsisten, pemain tengah itu menjadi tonggak utama di bawah Guardiola sepanjang tempohnya di Etihad.
City yang menjuarai Piala Liga bulan lalu masih berpeluang memburu trebel domestik ketika musim tahun 2025-26 memasuki fasa akhir, walaupun ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, dengan satu perlawanan dalam tangan serta baki lapan aksi.






