
IPOH – Kenaikan harga bahan binaan ketika ini disifatkan tidak wajar memandangkan kerajaan masih menanggung subsidi bahan api yang turut dimanfaatkan dalam rantaian bekalan industri pembinaan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau menegaskan, pemain industri tidak seharusnya mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik di Asia Barat.
Menurutnya, sebarang kenaikan harga tanpa justifikasi kukuh bukan sahaja tidak berasas, malah boleh menjejaskan usaha kerajaan mengekalkan kestabilan harga rumah, khususnya dalam kategori mampu milik.
“Kerajaan kekal komited memastikan harga kediaman tidak melonjak demi melindungi kepentingan rakyat.
“Dalam semangat kebersamaan, semua pihak dalam industri pembinaan diseru supaya bertanggungjawab dan tidak mengambil peluang daripada situasi global untuk menaikkan harga sesuka hati,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Program MADANI Rakyat 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Nga memberi peringatan tegas bahawa tiada alasan kukuh untuk sebarang kenaikan harga yang akhirnya membebankan rakyat, khususnya pembeli rumah pertama.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperketat pemantauan terhadap projek perumahan di seluruh negara bagi memastikan tiada kelewatan atau gangguan akibat perkembangan konflik global.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan akan terus memperkukuh pelaksanaan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sebagai usaha membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman pertama.
Menurutnya, tambahan peruntukan sebanyak RM10 bilion menjadikan keseluruhan RM40 bilion bagi skim berkenaan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.
“Sehingga kini, kira-kira 80,000 rakyat telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memperluas akses pemilikan rumah,” ujarnya.


