Tuntutan tidak berasas, kedaulatan Sabah tidak boleh dipertikaikan

SANDAKAN – Ahli Dewan Negara Parlimen Malaysia, Datuk Anna Bell Suzieanah Perian menyuarakan kecaman tegas terhadap kenyataan seorang Ahli Senator Filipina yang menggesa agar tuntutan terhadap Sabah dihidupkan semula.

Menurut Anna Bell, kenyataan tersebut disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta tidak menghormati prinsip asas undang-undang antarabangsa dan hubungan diplomatik serantau.

“Kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia adalah muktamad dan berlandaskan asas perundangan yang kukuh melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pembentukan Malaysia bukan sahaja melibatkan persetujuan kerajaan terlibat, malah disahkan melalui proses penentuan kehendak rakyat Sabah sendiri.

“Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 juga mendapati majoriti besar rakyat Sabah menyokong penyertaan dalam Malaysia, selaras dengan prinsip hak menentukan nasib sendiri yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

Anna Bell berkata, dari sudut perundangan antarabangsa, pelbagai prosiding dan keputusan mahkamah turut menunjukkan bahawa tuntutan yang dikaitkan dengan Kesultanan Sulu terhadap Sabah adalah tidak berasas.

“Mahkamah antarabangsa dan tribunal timbang tara telah menolak asas legitimasi tuntutan tersebut, termasuk perjanjian lama yang tidak lagi mempunyai kekuatan dalam konteks kedaulatan moden,” jelasnya.

Tambahnya, pengiktirafan antarabangsa terhadap Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia juga adalah jelas dan tidak boleh dipertikaikan.

“Malaysia telah diterima sebagai negara berdaulat sejak 1963, termasuk keanggotaannya dalam PBB. Kehadiran pejabat konsulat asing di Sabah serta hubungan perdagangan dan diplomatik membuktikan pengiktirafan ini.

“Sebarang usaha menghidupkan semula tuntutan berkenaan melanggar prinsip utama undang-undang antarabangsa seperti kedaulatan wilayah dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara.

“Tindakan ini berpotensi menjejaskan kestabilan serantau serta hubungan dua hala negara-negara ASEAN yang seharusnya berlandaskan semangat saling menghormati dan kerjasama,” kongsinya.

Mengulas lanjut, beliau berkata naratif tuntutan tersebut juga sering dikaitkan dengan kepentingan ekonomi, khususnya sumber petroleum dan gas di Sabah.

“Pendekatan sebegini amat dangkal dan tidak bertanggungjawab. Sabah bukan medan untuk menyelesaikan kekurangan hasil mana-mana negara asing.

“Kekayaan hasil bumi Sabah adalah hak mutlak rakyat Sabah dan dilindungi undang-undang Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan itu, Anna Bell menyeru rakyat Sabah agar terus bersatu dan mempertahankan kedaulatan negeri.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal kedaulatan. Sebarang tuntutan terhadap Sabah wajib dikecam dan ditolak sepenuhnya. Sabah adalah milik Malaysia dahulu, kini dan selamanya,” tegasnya.

Related Posts

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

SELAMA – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di daerah ini pada Sabtu lalu. Mangsa dikenali sebagai Zakaria Shamsudin, 42, seorang lelaki…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

LAHAD DATU – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari kedua seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di dalam Gua Tepadung, Segama, di sini, semasa menjalankan aktiviti mencari sarang burung…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan

Empat sekeluarga maut, seorang tercampak atas bumbung kereta dalam nahas lima kenderaan

Empat sekeluarga maut, seorang tercampak atas bumbung kereta dalam nahas lima kenderaan

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi