
KUCHING – Ketegangan geopolitik dan krisis maritim yang sedang melanda perairan Timur Tengah kini memberi tekanan hebat kepada rantaian bekalan tenaga global, namun kedudukan Malaysia kekal utuh dan stabil.
Strategi serampang dua mata kerajaan melalui kecekapan diplomasi antarabangsa dan penerusan subsidi domestik dilihat berjaya menampan kesan buruk krisis tersebut daripada membebankan rakyat.
Penyelaras Program Master Business Administration (MBA) di University of Technology Sarawak (UTS), Dr. Abdul Hayy Haziq Mohamad berkata, krisis laluan maritim di Timur Tengah kini berada pada tahap kritikal.
Menurut beliau, terdapat dua laluan utama untuk mendapatkan bekalan minyak dari Arab Saudi sama ada melalui perairan Syria ataupun berhampiran Selat Hormuz.

“Kapal dagang terpaksa mengelak laluan Syria berikutan wujudnya ancaman daripada pemberontak Houthi. Laluan Selat Hormuz pula kini berisiko tinggi kerana ia melalui perairan Iran, menyebabkan banyak kapal terpaksa menukar arah dan belayar jauh mengelilingi benua Afrika,” katanya.
Hubungan baik Malaysia-Iran
Tambahnya, walaupun wujud ketegangan di laluan utama tersebut, bekalan tenaga negara tidak terjejas seperti yang dialami oleh negara serantau kerana Malaysia memiliki hubungan diplomatik yang sangat baik dengan Iran.
Keistimewaan hubungan ini membolehkan kapal-kapal dagang negara melalui perairan tersebut tanpa halangan untuk mengambil bekalan minyak dari Arab Saudi dan membawanya pulang ke tanah air.
Situasi ini berbeza dengan Thailand yang terpaksa mengehadkan eksport minyak mereka akibat kesukaran mendapatkan bekalan dari Arab Saudi.
Sementara itu, Filipina juga amat terjejas dan kini sedang meminta keizinan daripada Amerika Syarikat untuk membeli minyak dari Rusia bagi menampung keperluan negara mereka.
Ketua Pusat Penyelidikan CONTRIBUTE UTS itu turut menekankan jaminan bekalan tidak bermaksud negara terselamat daripada tempias lonjakan harga global. Harga minyak mentah dunia kini melambung tinggi, didorong oleh faktor permintaan dan penawaran di pasaran saham antarabangsa serta pengukuhan ketara nilai dolar Amerika Syarikat (AS).
Oleh kerana transaksi pembelian minyak diikat dengan mata wang AS, penyusutan mata wang tempatan berbanding AS menjadikan kos import minyak jauh lebih mahal.
Di pasaran dunia, harga sebenar diesel kini menghampiri paras RM5 seliter, manakala harga sebenar bagi petrol RON95 pula sudah melepasi paras RM3 seliter. Meskipun begitu, rakyat Malaysia terus menikmati harga RON95 pada kadar RM2.05 seliter berikutan langkah kerajaan yang terus menampung perbezaan harga tersebut melalui pemberian subsidi.
Menyentuh mengenai kapasiti tempatan, Abdul Hayy Haziq menjelaskan jumlah pengeluaran minyak Malaysia sebenarnya agak terhad, iaitu tidak sampai satu peratus daripada keseluruhan jumlah eksport dunia.
Kualiti minyak mentah lebih premium
Bagaimanapun, katanya, minyak keluaran negara mempunyai kualiti yang jauh lebih tinggi berbanding minyak mentah dari negara Arab mahupun Venezuela yang kebiasaannya pekat.
“Minyak Malaysia lebih jernih, bersih, dan mempunyai kandungan karbon yang tinggi, menjadikannya sangat ideal untuk diproses sebagai bahan api kapal terbang (jet) serta produk petrokimia. Lonjakan harga bahan api premium di peringkat global ini secara tidak langsung memberikan keuntungan kepada syarikat petroleum negara, Petronas, memandangkan syarikat tersebut memfokuskan perniagaan kepada minyak gred tinggi ini,” ujarnya.
Walaupun sektor tenaga terkawal, jelas beliau, kerajaan perlu berwaspada terhadap kesan rantaian (domino effect) krisis ini ke atas sektor kritikal yang lain. Kenaikan kos dalam industri minyak dan gas telah memicu lonjakan harga baja di pasaran.
Ujarnya lagi, industri penghasilan baja sangat bergantung kepada bahan sampingan seperti ammonia dan sulfur yang terhasil daripada proses petrokimia.
Tambahnya, kenaikan harga baja ini kelak akan memberi tekanan secara langsung kepada kos sektor pertanian, yang dijangka akan menyebabkan lonjakan harga barang makanan asas di pasaran tempatan.
Ancaman AS serang stesen jana elektrik Iran
Menurut beliau lagi, situasi tegang di Selat Hormuz memasuki fasa baharu apabila AS memberi ancaman untuk menyerang stesen jana kuasa elektrik Iran susulan dakwaan bahawa negara tersebut telah menutup sepenuhnya laluan strategik terbabit.
Namun begitu, Abdul Hayy Haziq menjelaskan bahawa Iran tidak menutup laluan itu secara total, sebaliknya hanya kapal-kapal dari negara pro-AS yang berdepan kesukaran melaluinya untuk mendapatkan bekalan minyak dari Arab Saudi, manakala negara lain masih dibenarkan lalu walaupun prosesnya lambat akibat prosedur yang ketat.
Mengulas kesan ancaman AS tersebut, beliau menegaskan bahawa sekiranya loji penjana kuasa elektrik Iran dimusnahkan, langkah itu akan melumpuhkan kelangsungan pentadbiran negara berkenaan kerana semua infrastruktur masa kini bergantung sepenuhnya kepada janaan tenaga elektrik.
Kehancuran fasiliti ini akan menyebabkan Iran berdepan masalah besar untuk mendapatkan bekalan air serta hilang 100 peratus keupayaan untuk mentadbir negara.
Tambahan pula, Iran kini sedang berdepan tekanan ekonomi berikutan sumber alam mereka yang telah diserang, menyebabkan banyak negara enggan membeli minyak daripada mereka.
Oleh itu, bagi bertahan dalam jangka masa panjang, Iran perlu beralih kepada pembeli yang bukan sekutu AS, dan dalam hal ini, mereka bernasib baik kerana mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan yang baik dengan China.






