
KUALA LUMPUR – Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara dalam menghadapi cabaran global yang semakin tidak menentu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya sentiasa memantau perkembangan semasa secara rapi bagi memastikan negara bersedia lebih awal menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan bekalan makanan.
Menurut beliau, langkah pemantauan berterusan itu penting bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil, mencukupi dan mudah diperoleh oleh rakyat.
“Kita semua ada peranan. Yang ada ruang dan kemampuan, boleh mula bercucuk tanam. Yang berniaga, urus bekalan dengan berhemah. Yang membeli, elakkan pembelian panik.
“Insya-Allah, dengan usaha berterusan dan kerjasama semua pihak, kita mampu kukuhkan pengurusan bekalan makanan negara dan hadapi cabaran ini dengan tenang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
Terdahulu, Mohamad berkata, beliau menerima taklimat berkaitan pembentangan Kertas Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang memberi tumpuan kepada kedudukan semasa bekalan makanan negara serta langkah mitigasi yang perlu diperkasakan.
Beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual mempengerusikan mesyuarat MTEN hari ini bagi meneliti serta memuktamadkan langkah susulan yang perlu dilaksanakan.
Mohamad berkata keadaan global yang tidak menentu ketika ini, khususnya konflik di Asia Barat serta perubahan cuaca dunia, memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan dan produktiviti sektor pertanian negara.




