
IPOH – Bau busuk yang dihidu jiran membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki berusia 52 tahun di sebuah rumah di Taman Kledang Jaya, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.26 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.
“Mangsa dipercayai mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk kencing manis, darah tinggi dan kolesterol, selain pernah mengalami serangan angin ahmar ringan serta sedang menjalani rawatan susulan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya dalam kenyataan, lewat malam tadi.
Beliau berkata, setakat ini kematian mangsa diklasifikasikan sebagai tiada unsur jenayah.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa.






