
PENGENDALI England, Thomas Tuchel berdepan tugas getir merombak kesebelasan pasukan menjelang aksi persahabatan menentang Jepun di Stadium Wembley, Selasa ini selepas lapan pemain meninggalkan kem susulan masalah kecergasan dan kecederaan.
Selepas seri 1-1 menentang Uruguay Jumaat lalu, Persatuan Bolasepak England mengumumkan ‘pemergian’ beberapa pemain sehari kemudian susulan kecederaan dan isu kesihatan, sekali gus menjejaskan skuad 35 pemain dipilih Tuchel bagi kem latihan antarabangsa kali ini.
Penjaga gol Aaron Ramsdale, Fikayo Tomori dan Dominic Calvert-Lewin antara yang meninggalkan kem, manakala pemain pertahanan John Stones kembali ke Manchester City selepas mengalami kecederaan sebelum perlawanan menentang Uruguay, sementara Adam Wharton (Crystal Palace) dan Noni Madueke (Arsenal) turut mengalami kecederaan ketika aksi itu.
Rakan sepasukan Madueke di Arsenal, Declan Rice dan Bukayo Saka turut kembali ke kelab mereka di utara London.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa sebelum ini menambah saiz skuad bagi Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada kepada 26 pemain.
England akan berdepan Croatia, Ghana dan Panama dalam Kumpulan L dengan aksi pembukaan menentang Croatia di Arlington, Texas pada 17 Jun.



