PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menyempurnakan Program MADANI KITA (PMK) yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Sawah di sini pada pukul 2 petang ini.
PMK merupakan program anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang menyediakan pelbagai program dan aktiviti kepada orang ramai.
Antara program yang disediakan iaitu arnival kerjaya, program pertukaran topi kaledar, kaunter pengurangan saman, jualan MADANI dan pemeriksaan kesihatan.
Selain menjadi medan titik temu antara kerajaan dan rakyat, program itu turut menjadi wadah penting dalam menampilkan pencapaian, kemajuan dasar serta hasil reformasi Kerajaan MADANI secara telus dan mudah difahami oleh rakyat keseluruhannya.
Program bertemakan Memaknai Harapan Rakyat itu akan menjadi platform utama untuk memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan latar belakang menerusi penglibatan secara langsung dalam pelbagai aktiviti bersifat inklusif.
Antara pengisian lain yang turut dianjurkan adalah pendaftaran kad pengenalan baharu, pendaftaran Mydigital ID, perkhidmatan tukar al-Quran, serta menawarman tukar minyak hitam secara percuma.
Pada masa sama, orang ramai berpeluang membawa anak pokok secara percuma selain pelbagai promosi geran, pelbagai manfaat khas di Program MADANI Kita, pertandingan e-sport serta pelbagai pameran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan.





