PUTRAJAYA – Kerajaan memperkenalkan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam perkhidmatan awam selepas cadangan pelaksanaannya dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan, pengaturan kerja baharu itu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos depan dan menggantikan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Menerusi HBH, penjawat awam dibenarkan melaksanakan tugas selama dua hari dari rumah atau lokasi alternatif yang mendapat kelulusan Ketua Jabatan, manakala baki tiga hari perlu hadir ke pejabat mengikut keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi dan syarat yang ditetapkan.
“Penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan, dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat ditetapkan.
“HBH ialah satu inisiatif baharu kerajaan mengenai pengaturan kerja yang lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa mengurangkan waktu bekerja,” menurut kenyataan itu.
JPA menegaskan, pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting kerajaan kepada rakyat, termasuk operasi kaunter dan fungsi yang memerlukan kehadiran fizikal.
Perkhidmatan melibatkan sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah akan terus beroperasi seperti biasa.
Bagi negeri yang menjadikan Ahad sebagai Hari Kelepasan Mingguan (HKM), Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai hari kehadiran wajib di pejabat.
Sementara itu, bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang menetapkan Jumaat sebagai HKM, Ahad dan Khamis pula ditetapkan sebagai hari kehadiran wajib di pejabat.
Menurut JPA, HBH merupakan sebahagian daripada usaha reformasi berterusan kerajaan untuk memperkukuh pemodenan perkhidmatan awam menerusi amalan kerja berasaskan hasil dan penggunaan teknologi digital.
JPA turut memaklumkan sistem pemantauan akan diwujudkan bagi memastikan aspek integriti, prestasi serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus berada pada tahap terbaik.
“Kaedah bekerja secara hibrid turut dilaksanakan di negara seperti Singapura, Australia, Finland dan Sweden,” menurut kenyataan itu.
Garis panduan lengkap berserta syarat pelaksanaan HBH akan diumumkan oleh JPA dalam masa terdekat.


