BUKIT MERTAJAM – Satu laporan polis dibuat di Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) berhubung dakwaan tular di media sosial kononnya Hospital Bukit Mertajam akan dipindahkan bagi memberi laluan kepada sebuah kuil.
Laporan tersebut dibuat oleh pembantu kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Lim Zheng Han pada Selasa selepas satu hantaran Facebook didakwa mengandungi unsur fitnah serta menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Menurutnya, hantaran bertarikh 22 Mac oleh akaun dikenali sebagai Hamly Hadi itu menggunakan imej daripada video lawatan Steven ke hospital berkenaan pada September tahun lalu namun disertakan dakwaan tidak berasas.
“Lawatan tersebut sebenarnya bertujuan meninjau kemudahan asas serta mengenal pasti keperluan penambahbaikan di hospital berkenaan.
“Bagaimanapun, hantaran itu memaparkan naratif palsu kononnya hospital akan dipindahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap sebuah kuil,” katanya hari ini.
Zheng Han menambah, dakwaan berkenaan adalah tidak benar, mengelirukan dan dibuat dengan niat jahat.
“Tiada sebarang cadangan untuk memindahkan hospital tersebut sebaliknya pihak berkuasa sedang meneliti pembinaan bangunan tambahan di tapak sedia ada bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.
“Penyebaran maklumat palsu sedemikian bukan sahaja mencemarkan reputasi malah berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” ujarnya.
Tambah beliau, tindakan tersebut boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran awam.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap pihak terlibat.
Terdahulu, Lembaga Pelawat Hospital Bukit Mertajam turut menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan kerajaan Pulau Pinang telah memperuntukkan kira-kira lapan ekar tanah bagi pelan pembesaran hospital yang kini dalam penelitian Kementerian Kesihatan.





