
MIRI – Kegiatan kecurian kabel yang berpotensi menjejaskan bekalan elektrik serta keselamatan awam berjaya dipatahkan apabila pihak polis menahan seorang lelaki tempatan dalam satu operasi di kawasan Marina, di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat awam serta tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dengan kerjasama Polis Bantuan Sarawak Energy Berhad.
Menurut beliau, suspek berusia lingkungan 30-an berjaya diberkas di lokasi kejadian. Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memotong kabel, selain penemuan kulit kabel yang telah dikupas serta beberapa gulung kabel yang disyaki hasil kegiatan jenayah tersebut.
Beliau menegaskan bahawa kegiatan mencuri kabel merupakan jenayah serius kerana bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda awam, malah berpotensi mengganggu bekalan elektrik serta mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat setempat.
Polis Diraja Malaysia memandang serius sebarang perbuatan mencuri dan merosakkan kemudahan awam.
Tindakan undang-undang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat, termasuk mereka yang bersubahat atau membeli barangan curi.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.





