
KOTA KINABALU – Ketidaktentuan geopolitik global susulan ketegangan Asia Barat berpotensi memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia serta ekonomi negara, namun kerajaan memberi jaminan bahawa rakyat Malaysia terus dilindungi daripada kejutan harga bahan api.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, konflik di rantau pengeluar minyak utama itu lazimnya menyebabkan harga minyak dunia meningkat, sekali gus memberi kesan rantaian kepada ekonomi global termasuk Malaysia.
“Walaupun Malaysia sebagai negara pengeluar minyak melalui Petronas berpotensi memperoleh manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah, situasi tersebut turut meningkatkan kos dalam rantaian tenaga dan beban subsidi kerajaan.
“Kerajaan MADANI terus komited melindungi rakyat dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui pendekatan subsidi bersasar BUDI MADANI,” katanya dalam Majlis Santai dan Sungkai Media Sabah Bersama YB Mustapha Sakmud, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, harga sebenar RON95 di pasaran tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM2.67 seliter, namun kerajaan menanggung perbezaan harga tersebut bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos bahan api.
‘Kerajaan kini menanggung kira-kira RM3.2 bilion setiap bulan bagi subsidi petrol dan diesel yang merangkumi sekitar RM2 bilion untuk RON95 dan RM1.2 bilion untuk diesel.
“Ini membuktikan komitmen besar kerajaan dalam memastikan rakyat tidak terkesan secara langsung dengan kejutan ekonomi global,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Mustapha menegaskan kerajaan turut mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak bagi memastikan kos pengangkutan, logistik serta harga barangan keperluan tidak meningkat secara mendadak di kedua-dua wilayah tersebut.
Tambahnya, langkah itu penting kerana banyak kawasan di Sabah dan Sarawak bergantung kepada pengangkutan darat dan laut bagi memastikan bekalan barangan sampai kepada penduduk.
“Malaysia masih menikmati harga petrol yang jauh lebih rendah berbanding beberapa negara jiran di ASEAN.
“Sebagai perbandingan, harga petrol di Thailand boleh mencecah sekitar RM4 seliter, manakala di Indonesia sekitar RM3 hingga RM3.50 seliter, sementara di Singapura boleh melebihi RM8 hingga RM10 seliter,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat agar menggunakan subsidi bahan api secara berhemah serta tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
“Dalam situasi dunia yang penuh ketidaktentuan ini, rakyat perlu kekal tenang dan memahami realiti ekonomi semasa. Kerajaan dan rakyat perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi global,” kongsinya.




