RM6 juta diterima akaun Ambank Bersatu menerusi 10 transaksi pada 2022

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Ambank (M) Berhad memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu bahawa RM6 juta dimasukkan ke dalam akaun bank Bersatu secara berperingkat-peringkat, empat tahun lalu.

Nor Paizah Osman, 44, berkata, wang tersebut dimasukkan melalui cek dalam 10 transaksi melibatkan jumlah berbeza pada Februari, Mei, Oktober dan November 2022.

Beliau yang ketika itu Penolong Pengurus Ambank Cawangan Amcorp Mall berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2 juta dimasukkan pada 21 Februari.

Menurut Nor Paizah yang juga saksi pendakwaan ketiga (SP3), sebanyak RM500,000 masing-masing didepositkan pada 30 Mei, 31 Oktober, 8 November dan 17 November.

“Bersatu membuka akaun semasa Ambank pada 18 September 2018 manakala tarikh pendaftaran parti itu pada 8 September 2016,” katanya dalam pernyataan saksi yang dikemukakan di mahkamah.

Menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat, pegawai bank itu berkata, kemasukan wang ke dalam akaun Bersatu dilakukan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Presidennya.

Nor Paizah memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.

Pada sesi soal balas oleh peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, saksi bersetuju bahawa transaksi wang ke dalam akaun Bersatu dilakukan tanpa berselindung.

Nor Paizah memaklumkan sebarang pembukaan akaun dan transaksi adalah secara telus dan direkodkan dalam sistem bank.

Ketika ditanya Amer Hamzah sekiranya pihak bank pernah mendapat aduan dari Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung apa-apa isu berkaitan kewangan parti, Nor Paizah memaklumkan, institusi kewangan itu tidak pernah menerima sebarang isu berbangkit.

Amer Hamzah: Pernah tak dapat apa-apa inkuiri dari Bank Negara Malaysia (BNM)?

Nor Paizah: Tidak ingat.

Amer Hamzah: Berdasarkan mandat minit, untuk mengeluarkan wang, perlu mendapat persetujuan sekurang-kurangnya dua pemegang amanah?

Nor Paizah: Ya.

Dalam keterangannya, Nor Paizah turut menyatakan tidak wujud syak wasangka terhadap akaun Bersatu manakala transaksi melalui 10 cek juga tidak menimbulkan masalah kerana tiada inkuiri dari pihak BNM mengenainya.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada pemeriksaan semula, saksi berkata, tujuan cek dimasukkan adalah di luar pengetahuannya.

Menurut saksi, bank juga tidak mengetahui tujuan wang dimasukkan atau bertanya mengenai perkara tersebut, sebaliknya pihak bank hanya menerima cek dan memprosesnya.

Pada 10 Mac 2023, Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa yang didakwa diterima daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Sentral antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta antara 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan selaku Presiden Bersatu, menerima hasil AMLA iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung 13 April ini.

Related Posts

Anwar dijangka dibenarkan keluar hospital hari ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dibenarkan keluar dari hospital hari ini selepas menjalani rawatan, kata isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Wan Azizah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Strategi pelaburan berdisiplin perkasa kredibiliti, kedudukan TH

PUTRAJAYA – Usaha penstrukturan semula yang dilaksanakan Tabung Haji (TH) sejak beberapa tahun lalu memberi asas yang lebih kukuh kepada institusi itu untuk beroperasi secara mampan demi menjaga kepentingan pendeposit…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Chelsea miliki akademi bola sepak terbaik

Chelsea miliki akademi bola sepak terbaik

Lebih 150 orang awam maut akibat operasi tentera AS di Yaman

Lebih 150 orang awam maut akibat operasi tentera AS di Yaman

Asap dari Kalimantan Barat punca jerebu, tangguh aktiviti luar bilik darjah

Asap dari Kalimantan Barat punca jerebu, tangguh aktiviti luar bilik darjah

Etika berpolitik: Dari politik ketakutan kepada politik penyelesaian

Etika berpolitik: Dari politik ketakutan kepada politik penyelesaian

Integriti Sarawak dipacu ketegasan pantau projek awam dan penyampaian berkesan

Integriti Sarawak dipacu ketegasan pantau projek awam dan penyampaian berkesan

Anwar dijangka dibenarkan keluar hospital hari ini

Anwar dijangka dibenarkan keluar hospital hari ini