
JEDDAH – Seramai 164 rakyat Malaysia yang terjejas akibat ketegangan di zon konflik Asia Barat dijadualkan tiba di tanah air hari ini selepas dipindahkan melalui misi evakuasi yang diselaraskan kerajaan.
Mereka turut disertai lima warga Thailand yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia serta seorang warga Indonesia.
Kesemua 170 penumpang berkenaan menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11 pagi, Rabu (11 Mac).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Krisis Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Fauzan Amin Misnon berkata, kumpulan berkenaan dibawa pulang dari empat lokasi utama iaitu Arab Saudi (Jeddah), Syria, Jordan dan Qatar (Doha).
“Proses membawa pulang mereka berjalan lancar hasil kerjasama erat dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia di Jeddah.
“Kesemua mereka pulang secara sukarela selepas berdaftar melalui sistem dalam talian yang disediakan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN),” katanya yang turut menyertai Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat yang digerakkan kerajaan itu.
Menurut laporan Bernama, secara keseluruhan keadaan semua penumpang adalah baik, namun dua individu memerlukan perhatian khusus berikutan masalah kesihatan.
Operasi pemindahan tersebut dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terlibat terus terpelihara.
Sebelum ini, pesawat Airbus A330-300 yang digunakan dalam operasi berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada pukul 8.35 malam waktu tempatan dan diberikan tempoh masa yang terhad bagi proses mengambil penumpang.
Operasi berkenaan diselaraskan oleh MKN dengan kerjasama Kementerian Luar melalui pejabat perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.
Penerbangan khas itu turut disertai wartawan dan jurufoto Bernama serta jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Ketegangan di Asia Barat dilaporkan semakin memuncak sejak 28 Februari lalu susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, sebelum Tehran melancarkan serangan balas terhadap kepentingan AS di beberapa negara Teluk.









