
KUALA LUMPUR – Industri kreatif negara masih memerlukan idea dan sentuhan manusia meskipun penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin meluas dalam bidang seni, khususnya muzik dan perfileman.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, AI seharusnya dilihat sebagai alat yang membantu memperkukuh proses kreatif dan bukannya menggantikan peranan pengkarya.
“Bagi saya, the creative act is still a human act dan ini satu perkara yang bagi saya penting… bukan hanya untuk masa depan industri kreatif khusus dalam bidang muzik malah kalau kita lihat dalam bidang perfileman, AI juga digunakan… contohnya, to produce mood board.
“AI tidak boleh mengganti pembikin filem, sebaliknya ia boleh membantu dalam proses kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Kasih Ramadan dan Iftar Kementerian Komunikasi di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; dan Pengarah IPPTAR, Datuk Roslan Ariffin.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, lebih banyak perbincangan perlu diadakan dengan badan berkaitan industri muzik termasuk Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Public Performance Malaysia Berhad (PPM) bagi memastikan penggunaan AI tidak menjejaskan kepentingan pengkarya.
“Ini supaya kita boleh tentukan batas-batas yang boleh diterima oleh pengkarya, penulis lirik dan semua yang terlibat dalam industri muzik… saya percaya AI tidak akan menggantikan artis tetapi yang akan menggantikan artis ialah artis yang pandai menggunakan AI,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, IPPTAR terus memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan berkaitan AI kepada kakitangan agensi serta jabatan di bawah Kementerian Komunikasi.
Menurutnya, institut berkenaan juga antara yang terawal memperkenalkan modul latihan berkaitan AI bagi meningkatkan kemahiran penjawat awam.
Terdahulu, Fahmi merasmikan Sambutan Jubli Zamrud 55 Tahun IPPTAR yang ditubuhkan sejak 1971.
Beliau berkata, 10 Mac juga signifikan dalam sejarah institut itu kerana pada tarikh sama pada 1975, Perdana Menteri ketiga negara, Hussein Onn, menamakan institut berkenaan sebagai IPPTAR.
Pada majlis sama, Fahmi turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada 10 pengamal media termasuk veteran industri yang berdepan masalah kesihatan serta kesulitan hidup bagi membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri.
Sumbangan itu sebagai menghargai jasa dan sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Sejak diperkenalkan pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah memanfaatkan seramai 668 pengamal media di seluruh negara.
Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 sebagai usaha memperkukuh kebajikan komuniti media.




