Mekanik, penganggur didakwa tunggang motosikal secara bahaya

KUANTAN – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan seorang anggota polis ketika menjalankan tugas, awal bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Syarif Zawahid dan Muhammad Syafiq Farhan Mohd Norizam, masing-masing berusia 21 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mangsa menjalankan tugas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuantan–Sungai Lembing, berhadapan simpang Masjid Tengku Ampuan Afzan, dekat sini, kira-kira jam 9 malam pada 2 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nabilla Huda Jasmani menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Syafiq Syeba Atan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan.

“Tertuduh pertama tidak bekerja dan ditanggung ibunya yang merupakan ibu tunggal serta bekerja sebagai pembantu klinik dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan, selain turut menanggung dua adik yang lain.

“Bagi tertuduh dua pula bekerja sebagai pembantu mekanik dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan, masih bujang dan membantu menyara ibu bapanya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon agar mahkamah menetapkan jaminan lebih rendah memandangkan jumlah jaminan yang tinggi sukar dipenuhi oleh ahli keluarga kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, di Mahkamah Khas Trafik di sini, Muhammad Syarif turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di jalan awam.

Pengakuan itu direkodkan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal di hadapan simpang Masjid Tengku Ampuan Afzan dengan cara yang membahayakan orang awam, pada kira-kira jam 9 malam, 2 Mac lalu.

Dia didakwa melakukan aksi menunggang secara melulu termasuk melanggar lampu isyarat merah serta memotong secara zig-zag di jalan tersebut.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa PDRM, Inspektor Noraini Mohd Nor manakala tertuduh diwakili peguam YBGK, Farah Atiqah Asruddin.

Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Related Posts

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

KOTA KINABALU – Sabah secara rasmi menyertai Deklarasi Data Aset Jalan (DDJ) bagi memperkukuh pengurusan data aset jalan secara lebih bersepadu, sistematik dan telus di peringkat nasional. KKR dalam kenyataan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KOTA KINABALU – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh agenda pendigitalan sektor pembinaan negara menerusi penganjuran Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2026 yang menghimpunkan pengurusan tertinggi dan pegawai teknikal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Pujuk macam mana pun, PDM BN DUN Klawang tetap ditutup’

‘Pujuk macam mana pun, PDM BN DUN Klawang tetap ditutup’

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

Kerajaan sedia tambah STR, SARA jika ekonomi terus kukuh – PM

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

Sabah sertai Deklarasi Data Aset Jalan, rekod lebih 20,000 kilometer jalan negeri

Pengguna dakwa laman sosial Facebook gagal diakses

Pengguna dakwa laman sosial Facebook gagal diakses

KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KKR perkasa pendigitalan sektor pembinaan menerusi Program Kolaborasi Strategik 2026

KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia

KKR, Sabah dan Sarawak meterai MoU tubuh Makmal MyBIM Malaysia