
LAWAS – Semangat perpaduan dan kebersamaan antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat terserlah menerusi penganjuran program Jom Masak Bubur Perpaduan yang berlangsung meriah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, baru-baru ini.
Program yang dilaksanakan serentak di seluruh Sarawak itu bukan sekadar aktiviti memasak tahunan, malah menjadi platform berkesan bagi mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Pegawai Perpaduan Daerah Lawas, Peridah Taer berkata, inisiatif berkenaan amat penting dalam usaha berterusan memperkukuh keharmonian di kawasan tersebut.
“Program ini bukan sahaja melibatkan penyediaan bubur secara gotong-royong, malah menjadi ruang terbaik untuk masyarakat berinteraksi dan mengeratkan silaturahim.
“Aktiviti seumpama ini jelas mampu menyatukan pelbagai latar belakang serta memupuk nilai kebersamaan dalam komuniti kita,” katanya.

Hasil kerjasama erat tersebut, sebanyak 1,500 bekas bubur berjaya disediakan secara bergotong-royong sebelum diagihkan kepada orang ramai, termasuk pengguna jalan raya dan penduduk di sekitar bandar Lawas.
Antara agensi yang berganding bahu menjayakan program itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Lawas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lawas, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Lawas, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lawas serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar Lawas.
Usaha murni berkenaan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan ikatan perpaduan dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat terus utuh terpelihara.






