Pasaran buruh Sabah pulih, pengangguran menurun kepada 5.4 peratus

SANDAKAN – Pasaran buruh di Sabah menunjukkan pemulihan ketara apabila kadar pengangguran negeri ini menurun kepada 5.4 peratus pada suku keempat 2025, berbanding 7.2 peratus bagi tempoh sama pada 2024.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, penurunan tersebut menyaksikan seramai 30,400 individu di Sabah berjaya keluar daripada statistik pengangguran, hasil pelaksanaan inisiatif penempatan pekerjaan yang dilaksanakan secara agresif dan berterusan.

“Walaupun perkembangan ini memberi petanda positif, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini memberi perhatian serius terhadap isu ketidakpadanan pekerjaan di Sabah yang mencecah 47.7 peratus, iaitu lebih tinggi berbanding purata nasional 43.8 peratus.

“Masih ramai graduan tempatan berdepan isu ‘underemployment’ atau bekerja di luar bidang kelayakan.

“Sehubungan itu, penganjuran Karnival pada hari ini merupakan antara langkah intervensi tepat bagi membantu mengatasi cabaran tersebut,” katanya selepas merasmikan Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs @ Sandakan 2026, di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, Azirruan Ariffin.

Tambahnya, program bertemakan ‘Perkeso LINDUNG’ itu merupakan manifestasi komitmen KESUMA dalam memastikan setiap rakyat mendapat akses pekerjaan yang adil serta dilindungi oleh jaringan keselamatan sosial yang kukuh.

“Usaha tersebut selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dan Malaysia MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui peluang pekerjaan yang lebih baik, ” kongsinya.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus memaklumkan KESUMA dan Perkeso telah merangka strategi menyeluruh termasuk intervensi awal bermula dari peringkat sekolah menerusi program MYFutureJobs Career Exploration.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan laluan kerjaya generasi muda Sabah lebih terarah dan berimpak tinggi sebelum mereka melangkah ke pasaran buruh sebenar.

“Ini adalah bagi memastikan proses padanan kerja berlaku secara lebih pantas dan tepat, Portal MYFutureJobs kini diperkasakan dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

“Setakat 20 Februari 2026, portal ini telah merekodkan penempatan 62,436 pencari kerja di seluruh Sabah,” jelasnya.

Khairul Firdaus berkata, keberkesanan inisiatif tersebut turut dibuktikan menerusi penganjuran karnival berkenaan yang melibatkan 16 majikan strategik dengan tawaran lebih 300 kekosongan jawatan kepada warga Sandakan.

Selain itu, usaha berkenaan turut diperkukuh melalui pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Dasar TVET Negara 2030 bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi di Sabah.

“Sebagai langkah jangka panjang, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan terus berganding bahu memperluas ekosistem pasaran buruh yang lebih efisien sehingga ke pekan-pekan kecil di seluruh negeri.

“Usaha kolektif ini bertujuan mengurangkan kadar pengangguran secara sistematik serta meningkatkan taraf hidup rakyat melalui tenaga kerja yang kompetitif dan terlindung,” ujarnya.

Related Posts

Isu elektrik, telekomunikasi Orang Asli jadi keutamaan calon PH Pertang

JELEBU – Isu kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan liputan telekomunikasi di perkampungan Orang Asli akan menjadi antara keutamaan Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Mohd…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bomba selamat 23 mangsa terperangkap banjir

TAWAU – Seramai 23 mangsa yang terperangkap akibat banjir di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Apas, Batu 15 dan Kampung Terasing Batu 17 berjaya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Isu elektrik, telekomunikasi Orang Asli jadi keutamaan calon PH Pertang

Isu elektrik, telekomunikasi Orang Asli jadi keutamaan calon PH Pertang

Bomba selamat 23 mangsa terperangkap banjir

Bomba selamat 23 mangsa terperangkap banjir

Kerajaan Perak arah semakan menyeluruh operasi kuari Kuala Kangsar

Kerajaan Perak arah semakan menyeluruh operasi kuari Kuala Kangsar

Tiada larangan, Sanusi boleh terus berkempen di Negeri Sembilan – Samsuri

Tiada larangan, Sanusi boleh terus berkempen di Negeri Sembilan – Samsuri

Kerja baik pulih paip bocor, seluruh daerah Matu dan Daro alami gangguan air

Kerja baik pulih paip bocor, seluruh daerah Matu dan Daro alami gangguan air

Lelaki ditahan, disyaki serang, ugut penguatkuasa MBI

Lelaki ditahan, disyaki serang, ugut penguatkuasa MBI