PUTRAJAYA – Seorang daripada empat anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin bersetuju untuk membantu siasatan berhubung Op Godfather.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, anak lelaki Allahyarham, Md. Wira Dani, 48, telah menghubungi pihaknya baru-baru ini bagi membantu siasatan kes itu.
“Bagaimanapun, keberadaan tiga lagi anak bekas Menteri Kewangan itu masih belum diketahui. Setakat ini hanya seorang daripada anak Allahyarham Tun Daim telah menghubungi kami,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, pada Rabu.
Azam berkata, SPRM mahu peguam bagi ketiga-tiga individu itu segera menghubungi mereka dan seterusnya hadir ke pejabat SPRM secepat mungkin.
Menurut beliau, ketika ini, siasatan Op Godfather itu turut melibatkan pengesanan harta dan aset di beberapa negara yang dipercayai bernilai berbilion ringgit.
“Kami mempunyai senarai harta-harta di beberapa negara. Saya tidak mahu menyebut negara-negara berkenaan dan juga jumlahnya, tetapi ia berbillion ringgit yang telah kami kesan.
“Bahagian Operasi Khas SPRM kini sedang menjalinkan kerjasama dan perbincangan dengan pihak berkuasa negara-negara terlibat.
“Segala tindakan yang diambil perlu mematuhi undang-undang negara terlibat menerusi kerjasama perundangan bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA),” katanya.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Daim selepas mereka gagal memberi maklum balas terhadap dua notis rasmi.
Keempat-empat individu terbabit ialah Asnida, 65; Md. Wira Dani, 48; Muhammed Amir Zainuddin, 31 dan Muhammed Amin Zainuddin, 28.
Kesemua individu terbabit dipercayai kini berada di luar negara dan diperlukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36 (1) (b) Akta SPRM 2009.
Peruntukan itu memberi kuasa kepada SPRM untuk mengarahkan mana-mana individu mengisytiharkan segala aset yang dimiliki bagi tujuan siasatan.
SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, Asnida mempunyai alamat terakhir di Country Heights, Kajang Selangor manakala Md. Wira Dani beralamat terakhir di Taman Melawati, Ulu Klang.
Sementara Muhammad Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin mempunyai alamat terakhir di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.







