
TAWAU – Kepesatan pembangunan dan kepadatan penduduk di Apas, Balung mendorong kepada tuntutan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di kawasan berkenaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata, perancangan pembinaan Balai Bomba telah lama dibincangkan, namun pelaksanaannya masih belum bermula dan perlu dipercepatkan.
“Dengan pertambahan kawasan perumahan, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan aktiviti ekonomi yang semakin rancak, kewujudan Balai Bomba di sini sangat diperlukan.
“BBP Tawau terletak di pusat bandar dan jaraknya agak jauh untuk memberi respons pantas jika berlaku kecemasan di Apas dan Balung,” ujarnya selepas melawat tapak kebakaran dan menyampaikan bantuan kepada pemilik premis di Simpang Batu 15 Jalan Apas, pada Isnin.
Insiden Februari lepas itu menyebabkan 18 gerai musnah dijilat api.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi perhatian serius terhadap cadangan pembinaan balai bomba Apas Balung demi memastikan respons kecemasan lebih pantas dan keselamatan penduduk terus terjamin.
Nizam turut menasihatkan penduduk khususnya di kawasan berisiko tinggi kebakaran supaya lebih peka terhadap aspek keselamatan terutama dalam penyambungan elektrik, penggunaan dapur gas serta pembinaan struktur kediaman atau premis perniagaan.
Katanya, setiap pembinaan perlu mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Kita turut meminta MPT mengadakan perbincangan bersama Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tapak kebakaran terletak di kawasan rizab jalan.
“Perbincangan ini penting untuk menentukan status tapak dan tindakan terbaik supaya kawasan ini dapat diurus dengan lebih teratur serta selamat pada masa depan,” ujarnya.





