
LIMBANG – Prihatin terhadap kebajikan golongan yang memerlukan, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menyantuni 10 asnaf menerusi Program Bedudun Ramadan di Kampung Bukit Kota di pada Ahad.
Beliau berkata, sumbangan tersebut merupakan manifestasi keprihatinan dan usaha berterusan bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan, khususnya bagi menampung perbelanjaan harian dan persiapan menjelang Aidilfitri.
“Ramadan adalah bulan terbaik untuk kita memperbanyakkan amal kebajikan dan berkongsi rezeki.
“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu serta memberi senyuman dan kegembiraan kepada penerima,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu, aspek kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan seiring dengan agenda pembangunan fizikal di kawasan tersebut.
Jelas beliau, keseimbangan antara pembangunan infrastruktur dan sosial amat penting bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dapat ditingkatkan secara menyeluruh.
Dalam perkembangan sama, beliau turut meluluskan permohonan sumbangan karpet baharu untuk Surau Setia Bakti bagi memberi keselesaan kepada jemaah menunaikan ibadah.

Menurutnya, kemudahan itu diharap dapat menyemarakkan lagi aktiviti keagamaan seperti solat berjemaah, tadarus al-Quran dan majlis ilmu sepanjang bulan mulia ini.
Beliau pada masa sama turut menyeru masyarakat agar terus mengimarahkan surau serta memperkukuhkan ukhuwah dan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk kampung.
“Keharmonian dan sikap saling membantu perlulah dipertahankan kerana ia menjadi asas kekuatan komuniti dalam mendepani apa jua cabaran semasa,” ujarnya.
Tambah beliau, pelbagai usaha menaik taraf kemudahan asas di Kampung Bukit Kota akan terus digerakkan secara berperingkat demi keselesaan dan manfaat jangka panjang penduduk setempat.



