
ITHMA
PAITAN – Seramai 74 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 berjaya dipindahkan dari kawasan terjejas banjir menerusi operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi keselamatan di daerah Paitan dan Pitas.
Di Paitan, anggota Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertindak pantas memindahkan sembilan pelajar yang terjejas akibat kenaikan paras air banjir untuk meneruskan perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Salaping.
Kesemua pelajar terbabit dilaporkan berdepan kesukaran keluar dari kediaman masing-masing apabila laluan utama dinaiki air, sekali gus menimbulkan kebimbangan mereka tidak dapat menghadiri sesi persekolahan serta persediaan peperiksaan penting itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh APM, operasi pemindahan dilaksanakan menggunakan kenderaan jabatan dengan kaedah yang selamat dan terkawal bagi memastikan tiada risiko terhadap keselamatan pelajar.
Tindakan segera itu bukan sahaja memastikan kelangsungan pendidikan mereka, malah memberi kelegaan kepada ibu bapa yang gusar dengan keadaan cuaca tidak menentu.
Sementara itu di Pitas, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Pitas giat menjalankan operasi mengeluarkan seramai 65 pelajar yang terperangkap banjir untuk menghadiri peperiksaan STPM melibatkan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Pitas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pitas II.

Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Lima lokasi dikenal pasti terjejas iaitu sekitar Paitan, Pinapak, Kanibongan, Pandan Mendamai dan Kusilat yang masing-masing mencatatkan peningkatan paras air sehingga menjejaskan laluan perhubungan utama penduduk.
Gabungan tindakan pantas pasukan penyelamat ini jelas mencerminkan tahap kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi situasi bencana, selain menegaskan komitmen kerajaan memastikan tiada pelajar tercicir daripada pendidikan walaupun berdepan cabaran alam.
Pengorbanan serta dedikasi anggota keselamatan yang bertugas tanpa mengira masa dan keadaan wajar diberikan penghargaan, sekali gus menjadi simbol solidariti dan keprihatinan terhadap masa depan generasi muda negara.






