
SELEPAS berbulan-bulan mengharungi cabaran merentas benua, kepulangan kenderaan ikonik yang dikenali sebagai ‘Xiao Bai’ ke tanah air sejak Januari lalu, tidak semudah disangka.
Pemiliknya, Jack Voon Fuet Kui mendedahkan, perjalanan membawa balik kenderaan itu dari Chile ke Malaysia berdepan dengan siri birokrasi rumit, kekeliruan dokumen dan kos tambahan di luar jangka.

Kesulitan dihadapi ‘Xiao Bai’ bermula selepas Voon menamatkan misi promosi kebudayaan Malaysia berakhir di Amerika Selatan, termasuk mempersembahkan muzik sape dan memakai songket Pahang di Kedutaan Malaysia di Santiago.
Namun, cabaran bermula sebaik sahaja urusan perkapalan dan proses kastam di Malaysia dilakukan.
Isu dokumentasi dan denda
Menurut Voon, masalah pertama timbul apabila terdapat percanggahan maklumat pada dokumen Bill of Landing oleh syarikat penghantaran di Chile.

Kesilapan teknikal itu mengakibatkan pemilik dikenakan caj pembetulan sebanyak RM500 dan kompaun kastam berjumlah RM1,000.
“Isu ini berpunca daripada pihak penghantaran di Chile, tetapi sebagai pemilik, saya terpaksa menanggung beban tersebut untuk memulakan proses pelepasan,” katanya kepada The Malaysia Press.
‘Ping-Pong’ antara agensi kerajaan
Apa yang lebih mengecewakan adalah berdepan proses mendapatkan Permit Import (AP) dan pengecualian cukai membabitkan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Antara cabaran dihadapi termasuklah:
Permohonan AP ditolak
Pemilik terpaksa menggunakan Tariff Code yang tidak tepat bagi membolehkan sistem menerima permohonan tersebut.
Isu cop rasmi
Pihak JKDM pada mulanya enggan menerima AP digital kerana tiada cop fizikal, walaupun MITI menegaskan sistem kelulusan dalam talian sudah memadai.
Kekeliruan pengesahan dokumen
Walaupun MoF mengesahkan kenderaan buatan Malaysia tidak dikenakan cukai, pihak Kastam tetap meminta bukti ‘hitam putih’ yang menyebabkan proses tertangguh lebih sebulan.
Kos simpanan dalam gudang
Akibat kelewatan tersebut, ‘Xiao Bai’ tersadai di gudang pelabuhan dengan caj sewa simpanan mencecah RM89 sehari.
Berasa buntu dan kecewa, Voon berkata, dia menghantar e-mel kepada pihak pengurusan tertinggi MoF dengan salinan kepada Jabatan Perdana Menteri bagi menuntut keadilan.

Tindakan itu membuahkan hasil apabila MoF mengeluarkan surat rasmi yang menjelaskan peruntukan undang-undang berkaitan kuasa pelepasan kastam.
Harapan untuk sistem lebih mesra
‘Xiao Bai’ akhirnya dibebaskan 22 Januari lalu selepas segala urusan dokumentasi diselesaikan.
Walau bagaimanapun, Voon berharap insiden ini menjadi pengajaran untuk penambahbaikan sistem penyelarasan antara jabatan kerajaan.
“Jika sistem kita terlalu kaku, bagaimana Malaysia mahu menarik lebih ramai pengembara ‘overlander’ luar negara untuk meneroka negara kita? Komunikasi antara jabatan dan agensi patut diperkukuh agar kerugian masa dan kos tidak ditanggung oleh rakyat semata-mata,” tambahnya lagi.
Dia memberitahu, kepulangan ‘Xiao Bai’ bukan sekadar tamatnya sebuah kembara, tetapi satu manifestasi perjuangan seorang rakyat Malaysia dalam menuntut hak dan keadilan dalam sistem birokrasi negara.








