Hotel Hyatt Regency Kinabalu pacu tranformasi pengurusan sisa buangan industri pelancongan

KOTA KINABALU – Industri hospitaliti di negeri ini kini beralih ke arah model operasi yang lebih hijau melalui inisiatif transformatif pengurusan sisa yang memberikan manfaat langsung kepada pembangunan infrastruktur penduduk luar bandar.

Pengurus Besar Hyatt Regency Kinabalu, Thor Gervasi berkata, barangan kaca dan sisa makanan merupakan isu besar di Sabah kerana kesukaran untuk dikitar semula secara konvensional.

“Kami mengambil inisiatif untuk menangani cabaran kitar semula di negeri ini, sekali gus meminimumkan jumlah kaca-kaca dan sisa makanan yang tidak diguna ke tapak pelupusan sampah menerusi pengurusan aliran sisa yang lebih bersistematik.

“Bagi barangan kaca, kami menggunakan mesin penghancur khas bagi menghasilkan batu bata atau ‘paver’ kecil dan setakat hari ini kita telah menghasilkan 70 buah paver daripada serpihan botol-botol kaca dan campuran simen sejak ia dilaksanakan pada tahun 2024.

“Paver-paver ini akan diserahkan kepada penduduk kampung untuk digunakan sebagai penurap kawasan sekolah atau dewan orang ramai yang tidak bersimen agar kawasan berlumpur dapat ditutupi ketika musim hujan.

“Ketika ini kami sedang berbincang untuk berkerjasama dengan sebuah kampung di Kiulu bagi menghasil dan menggunakan paver tersebut di kampung berkenaan sebagai sebagai projek perintis,” kongsinya kepada media semasa Majlis Berbuka Puasa bersama media di sini pada Jumaat.

Tambah Thor, hotel berkenaan turut memperkasakan projek pengkomposan sisa makanan yang telah dimulakan sejak dua tahun lepas.

“Melalui penggunaan mesin khas, kami kini mampu memproses sekitar 80 kilogram (kg) sisa makanan bagi setiap 48 jam dan menghasilkan 20 kilogram baja kompos.

“Pada musim puncak seperti Ramadan atau perayaan Krismas, jumlah sisa organik yang diproses meningkat secara drastik dengan anggaran pengeluaran kompos mencecah sehingga 600 kilogram sebulan.

“Pada masa ini, kami berkerjasma dengan petani di Kundasang untuk menggalakkan mereka menggunakan baja kompos ini secara percuma, pada mulanya mereka tidak terus bersetuju, kerana telah terbiasa menggunakan kaedah lama, tetapi apabila pihak kami memberi penerangan dengan lebih lanjut, barulah mereka bersetuju untuk menggunakan baja organik ini.

“Kami turut menggalakkan mereka mengaplikasikan kaedah tanaman secara organik secara menyeluruh dan seterusnya menjual kembali hasil tanaman mereka untuk kegunaan di restoran kami.

“Selain itu, kami turut turut menyediakan sisa serbuk kopi terpakai secara percuma kepada orang awam yang ingin menggunakannya sebagai baja tanaman di rumah,” jelasnya.

Menurut Thor, segala usaha kelestarian tersebut diperkukuhkan lagi melalui dana yang dijana menerusi acara golf amal tahunan anjuran hotel berkenaan.

“Sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, acara tersebut berjaya mengumpul dana sehingga RM75,000 yang disalurkan sepenuhnya kepada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hotel.

“Antara inisiatif yang menjadi fokus utama kami baru-baru ini adalah program ‘One Ocean’, yang menumpukan kepada usaha pemulihan terumbu karang serta pendidikan kelestarian marin. Kami terlibat secara aktif membantu mereka, bermula daripada fasa persediaan awal sehingga kepada pelaksanaan projek lapangan.

“Selain itu, komitmen kami turut merangkumi sokongan terhadap Program Kesedaran Tenggiling serta Pusat Konservasi Beruang Madu (Sun Bear Sanctuary) di Sandakan.

“Melalui kerjasama erat dengan pelbagai NGO, kami memastikan setiap dana disalurkan secara telus demi memelihara alam sekitar dan memperkasakan komuniti tempat kami beroperasi,” kongsinya.

Thor melihat penglibatan tersebut sebagai satu fasa yang sangat membanggakan selain menzahirkan rasa semangat terhadap impak positif yang terhasil, serta tekad untuk meneruskan momentum tersebut demi masa depan yang lebih mampan.

Kesungguhan dalam menjaga ekosistem ini turut membuahkan hasil apabila hotel berkenaan menjadi antara premis awal di negeri ini yang menerima pensijilan Green Key dari The Foundation for Environmental Education (FEE) awal tahun ini.

Pensijilan bertaraf antarabangsa itu memerlukan pihak hotel mematuhi lebih 200 kriteria ketat, merangkumi aspek penggunaan bahan kimia mesra alam sehinggalah kepada proses pengurusan sisa yang telus dan efisien.

Thor berharap pendekatan inklusif yang diamalkan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak pemain industri untuk turut sama mengamalkan budaya kelestarian yang mampan di Sabah pada masa hadapan.

Related Posts

Nahas maut dua remaja: Pemandu kereta didapati positif dadah

IPOH – Pemandu kereta yang dipercayai menjadi punca kemalangan mengorbankan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, petang Ahad, didapati positif dadah jenis benzodiazepine. Ketua Polis Daerah Hilir…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Dua remaja perempuan maut, kanak-kanak cedera, dirempuh kereta gagal memotong

TELUK INTAN – Dua remaja perempuan maut, manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta di Jalan Padang Tembak di sini, petang Ahad.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Limpahan pemerkasaan ekonomi dinantikan penduduk Port Dickson

Limpahan pemerkasaan ekonomi dinantikan penduduk Port Dickson

Nahas maut dua remaja: Pemandu kereta didapati positif dadah

Nahas maut dua remaja: Pemandu kereta didapati positif dadah

Rakyat Malaysia maut ditikam dalam pergaduhan di Korea Selatan

Rakyat Malaysia maut ditikam dalam pergaduhan di Korea Selatan

Biarpun ada pihak mahu ‘bungkus’ Anthony, Amirudin yakin DUN Chennah kekal milik PH

Biarpun ada pihak mahu ‘bungkus’ Anthony, Amirudin yakin DUN Chennah kekal milik PH

‘Haramkan’ pihak pertikai asal usul Melayu

‘Haramkan’ pihak pertikai asal usul Melayu

‘Dengan kudrat yang ada’, Mohd Aidil yakin kelebihan turun padang

‘Dengan kudrat yang ada’, Mohd Aidil yakin kelebihan turun padang