BANTING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, pada Jumaat.
Ketibaan Anwar kira-kira jam 1.30 tengah hari disambut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohd Hasry Nor Mohd dan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi.
Beliau yang juga Menteri Kewangan kemudian mendengar khutbah bertajuk ‘Menghidupkan Ramadan Dengan Ibadah Yang Berkualiti’ disampaikan Imam Dua masjid itu, Zamhari Mohd Darwi yang kemudian turut memimpin solat Jumaat.
Kandungan khutbah itu antara lain menekankan kelebihan beribadah dalam Ramadan selain mengingatkan umat Islam untuk memelihara ibadah puasa supaya tidak sia-sia.
Selepas solat, jemaah tidak melepaskan peluang bersalaman dan berswafoto dengan Perdana Menteri.
Untuk rekod, kunjungan ke masjid terpilih di seluruh negara antara rutin Perdana Menteri setiap Jumaat sejak menerajui kerajaan pada November 2022.


