
LAWAS – Seorang lelaki berusia 30 tahun diberkas polis selepas dipercayai menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 5.15 gram di hadapan pondok pengawal sebuah jabatan kerajaan di bandar Lawas, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, tangkapan dilakukan sekitar jam 9.30 malam selepas lelaki yang tidak bekerja itu disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Beliau memaklumkan, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal dipercayai syabu, selain 16 keratan tiub straw yang turut berisi bahan sama.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 5.15 gram.
“Walaupun ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, semakan rekod lampau menunjukkan lelaki berkenaan mempunyai tiga kes berkaitan dadah sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


