
KOTA KINABALU – Sabah Tourist Association (STA) komited memperkukuh kerjasama antara pemain industri pelancongan negeri ini sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Presidennya, Melanie Chu berkata, STA berperanan sebagai suara kolektif industri pelancongan Sabah yang mewakili pelbagai pengusaha, perniagaan dan profesional dalam ekosistem tersebut.
“Kerjasama erat dengan agensi seperti Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Tourism Malaysia (TM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Biro Konvensyen Sabah (SCB) akan terus diperkukuh bagi memastikan suara industri di peringkat akar umbi didengari.
“Perkongsian antara NGO, sektor awam dan swasta amat penting untuk memastikan Sabah kekal kompetitif dan relevan dalam landskap pelancongan yang sentiasa berubah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam persatuan berkenaan, di sini pada Jumaat.
Melanie turut menghargai sokongan pihak media dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa.

Menurut Melanie, Tahun Melawat Malaysia 2026 bukan sekadar kempen nasional, malah platform pertumbuhan dan inovasi kepada pemain industri di Sabah.
“Semua ahli digalakkan menyelaraskan produk, perkhidmatan dan strategi pemasaran bagi memanfaatkan momentum ini serta meletakkan Sabah pada kedudukan kukuh dalam peta pelancongan negara.
“STA kekal optimis dengan kerjasama berterusan dan semangat perpaduan dalam kalangan ahli industri pelancongan Sabah agar mampu berkembang secara mampan serta berdaya tahan pada masa hadapan.
“STA akan terus aktif menganjurkan pelbagai program sepanjang 2025 antaranya pendakian ke Bukit Botak Sepanggar, kempen derma darah serta program Electrifying Tourism Tomorrow with BYD bagi mengeratkat jaringan kerjasama antara ahli persatuan,” kongsinya.
STA turut teribat aktif dan menyokong pelbagai program pelancongan antaranya Program Seni Instalasi Mesra Alam Art by the Bay Upcycle serta menyertai lawatan pengenalan (FAM Trip) ke Brighton Bay, Sungai Kawang, Kinarut.
Tambahnya, majlis tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pertubuhan termasuk Sabah Tourism Federation (STF) yang menghimpunkan 10 persatuan industri pelancongan negeri ini antaranya Malaysian Association of Hotels (MAH), Malaysia Budget Hotel Association (MyBHA), Sabah Tourist Guide Association (STGA), Persatuan Pemandu Pelancong Bumiputra Sabah (PBB), Persatuan Homestay Sabah (PHS), Malaysia Inbound Chinese Association (MICA), Malaysia Chinese Tourism Association (MCTA), Sabah Hotel Association (SHA) dan Sabah Backpacker Association (SBA).
Lebih 60 ahli persatuan menyertai program berkenaan dan ia turut dihadir oleh Ketua Pegawai Eksekutif SCB, Noredah Othman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Tourism Board, Humphrey Ginibun, Pegawai Unit Pembangnan Industri MOTAC, Noorshanti Huddin dan Presiden STF merangkap Timbalan Pengerusi STA, Tonny Chew.


