Jawatankuasa khas ditubuhkan siasat dakwaan terhadap KP SPRM

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti dan menyiasat segala dakwaan yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Fahmi berkata, jawatankuasa khas berkenaan akan diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Jemaah Menteri pada hari ini membincangkan isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Jemaah Menteri memutuskan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan.

“(Jawatankuasa khas) itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara yang akan menyiasat dakwaan, perkara yang dibangkitkan berkait Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Bloomberg melaporkan Azam didakwa memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang medianya baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun yang sama.

Susulan itu, Azam menegaskan beliau bersedia untuk disiasat oleh kerajaan berhubung isu pegangan saham yang didakwa dimilikinya.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sebaik siasatan yang diketuai Ketua Setiausaha Negara itu selesai, laporannya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan aspek ketelusan serta integriti dalam proses siasatan terus terpelihara.

Disoal mengenai gesaan beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, supaya Azam digantung tugas serta-merta, Fahmi berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Apa yang Jemaah Menteri putuskan ialah supaya satu jawatankuasa khas dipengerusikan KSN melakukan siasatan, maka kita akan rujuk dan serahkan kepada KSN serta jawatankuasa untuk meneliti,” katanya.

Related Posts

Kerajaan perluas subsidi elektrik, lindungi penggunaan hingga 800 kWj – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan kini mendapat perlindungan subsidi bil elektrik, susulan keputusan Kerajaan MADANI memperluas had berkenaan daripada 600 kWj. Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hari Malaysia wadah perbaharui kebersamaan rakyat

KOTA KINABALU – Sambutan Hari Malaysia perlu menjadi wadah memperbaharui rasa kebersamaan rakyat sebagai sebuah negara yang dibina daripada kepelbagaian, selain memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan perluas subsidi elektrik, lindungi penggunaan hingga 800 kWj – PM Anwar

Kerajaan perluas subsidi elektrik, lindungi penggunaan hingga 800 kWj – PM Anwar

Galeri Polis Sabah dibuka kepada awam

Galeri Polis Sabah dibuka kepada awam

Hari Malaysia wadah perbaharui kebersamaan rakyat

Hari Malaysia wadah perbaharui kebersamaan rakyat

Hanya berani cakap, tidak berani buat – AMK

Hanya berani cakap, tidak berani buat – AMK

PMO lapor polis dokumen palsu guna nama Anwar

PMO lapor polis dokumen palsu guna nama Anwar

Se­pak anak di restoran, anggota tentera mengaku tidak bersalah

Se­pak anak di restoran, anggota tentera mengaku tidak bersalah