
KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd mencatat keuntungan sebanyak RM5.6 bilion daripada operasinya bagi tahun kewangan 2025 dan menyalurkan dividen berjumlah RM2 bilion kepada kerajaan, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, sejak penubuhannya pada 2004, Khazanah telah membayar dividen terkumpul sebanyak RM21.1 bilion kepada kerajaan, manakala jumlah pulangan terkumpul kepada pemegang saham mencecah RM93.1 bilion.
“Pulangan jangka panjang adalah penting, namun kami juga mempunyai tanggungjawab untuk menyokong kerajaan dari segi keuntungan dan penyediaan pulangan tersebut.
“Oleh itu, adalah penting untuk kami mengekalkan portfolio yang seimbang dan pelbagai bagi mengurus risiko serta memastikan pulangan yang agak konsisten sepanjang kitaran ekonomi,” katanya pada sesi taklimat media Khazanah Annual Review 2026 di sini, pada Selasa.
Amirul Feisal berkata, pendekatan itu membolehkan Khazanah memenuhi pelbagai keperluan selain memberi tumpuan kepada pertumbuhan jangka panjang dan kestabilan aliran tunai.
“Khazanah diamanahkan untuk mengurus aset negara bagi mengembangkan kekayaan jangka panjang Malaysia.
“Ini melibatkan pembinaan portfolio yang berdaya tahan dan pelbagai yang bertujuan menjana pulangan mampan yang diselaraskan dengan risiko, di samping memajukan keutamaan ekonomi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah, Datuk Hisham Hamdan berkata, program ‘Gear Up’ kerajaan akan membolehkan pulangan yang lebih tinggi bagi membiayai pertumbuhan baharu dan menyokong pelan pengembangan syarikat.
Program itu menyasarkan peningkatan permodalan pasaran syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebanyak RM100 bilion antara 2024 hingga 2028, dengan sasaran jumlah pulangan kepada pemegang saham sebanyak 7.5 peratus.
“Dengan pulangan yang lebih tinggi, kami boleh membiayai pertumbuhan baharu dan menyokong pelan pengembangan syarikat-syarikat ini.
“Kami juga boleh memberikan dividen kepada kerajaan, selain memastikan KLCI menunjukkan prestasi baik dan menarik pelabur ke Malaysia,” katanya.


