
KOTA KINABALU – Jabatan Pengangkutan Jalan Sabah (JPJ) menyita sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Supra 3.0L milik seorang ahli perniagaan dalam Ops Khas Luxury yang dijalankan di Jalan Tuaran, di sini, pada Isnin.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, kenderaan tersebut dikesan melakukan beberapa kesalahan utama iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh, tiada perlindungan insurans yang sah serta penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Kesalahan berkenaan merupakan pelanggaran undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), khususnya Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1),” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin
Tambahnya, operasi penguatkuasaan seumpama itu akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya, termasuk melibatkan kenderaan mewah.
“JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi undang-undang sedia ada,” tegasnya.







