
MIRI – Bau kurang menyenangkan serta aliran air tersumbat sejak beberapa hari lalu akhirnya mendapat perhatian susulan aduan penduduk dan peniaga di kawasan komersial Boulevard Commercial Center dan Pelita Commercial Center, yang membawa kepada tindakan segera di lapangan.
Menurut Pegawai Khas Pusat Khidmat Rakyat Miri, Chaw Zhe Jian, aduan diterima pada petang semalam selepas keadaan longkang yang dipenuhi sampah mula menjejaskan rutin harian komuniti setempat, khususnya peniaga yang berdepan persekitaran tidak selesa untuk menjalankan urusan perniagaan serta penduduk sekitar.
Prihatin terhadap keluhan yang disuarakan, beliau telah turun padang seawal jam 7.00 pagi bagi melihat sendiri keadaan di lokasi.
Tinjauan mendapati longkang berada dalam keadaan tersumbat teruk akibat pengumpulan sampah, menyebabkan aliran air tersekat dan bau yang mengganggu keselesaan persekitaran.
Susulan itu, perkara berkenaan segera dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan dan jabatan berkaitan bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta pemulihan longkang tanpa berlengah.
Tindakan susulan akan terus dipantau bagi memastikan masalah berkenaan dapat diselesaikan secara menyeluruh.
“Orang ramai turut diseru agar bersama-sama memelihara kebersihan persekitaran dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab dan tidak membuang sampah merata-rata bagi mengelakkan masalah yang sama berulang”, ujarnya.
Usaha pantas ini mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat serta komitmen berterusan untuk memastikan Miri kekal sebagai sebuah bandar yang bersih, selesa dan menyenangkan untuk didiami.





