
PUTRAJAYA – Syarat mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikenakan kepada pelajar di institusi pendidikan swasta dalam negara, adalah langkah paling tepat.
Pakar bahasa dan perpaduan, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, kaedah itu disifatkan memiliki kepentingan untuk proses pembentukan bangsa, identiti serta menjadi mata pelajaran utama yang menggunakan kurikulum kebangsaan selain keperluan setiap pelajar wajib lulus subjek tersebut.
“Sebenarnya dua mata pelajaran ini bukan sahaja baik sekali, juga afdal untuk menjayakan proses pembentukan bangsa. Ini kerana anak bangsa kita pasti bersatu setelah mengidentifikasikan diri dengan bahasa dan sejarah negara yang dikongsi bersama.
“Penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta pemahaman baik tentang sejarah penubuhan negara merupakan kewajipan nasional. Namun, keupayaan ini didapati kurang, malah dalam sesetengah keadaan hampir tak wujud, terutama bagi anak bangsa yang tidak melalui sistem pendidikan kerajaan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Dengan kekurangan itu, Kok Seong berpandangan, rata-rata lepasan institusi pendidikan swasta tidak dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat terbanyak yang belajar di institusi pendidikan kerajaan, seolah-olah golongan itu terpisah kerana tidak cekap berbahasa Melayu dan memahami sejarah Malaysia dengan baik.
Beliau yang juga Felo Kehormat Institut Masa Depan Negara (MASA) berkata, kelemahan itu menyebabkan lepasan pelajar institusi pendidikan swasta tidak dapat menyumbang dengan baik dalam menyerlahkan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

“Ini kerana pengetahuan mereka terbatas untuk fasih dalam bahasa Melayu. Mereka juga bersifat nasionalistik kerana tidak mengetahui sejarah tanah air.
“Dalam usaha mengiktiraf apa-apa sistem pendidikan, khususnya yang berada di luar sistem sedia ada negara, pengiktirafan tersebut tidak boleh dibuat semata-mata dengan menetapkan syarat sahaja tetapi perlu dinilai secara menyeluruh.
“Ini kerana ia bukan sahaja sangat tidak adil kepada anak bangsa yang memilih untuk bersama sistem sedia ada, sama ada secara separa atau sepenuhnya tetapi mereka inilah yang sebenar-benarnya menjayakan sistem kita. Oleh itu, mereka wajib diutamakan,” katanya.
Kok Seong yang juga Felo Majlis Profesor Negara (MPN) berpendapat, apabila pengiktirafan hanya bersifat bersyarat, ia biasanya diwujudkan secara tergesa-gesa, tidak sistematik dan tidak selari dengan perancangan asal, di samping sering bersifat spontan kerana didorong keperluan peperiksaan semata-mata.
“Keadaan ini menjadikan pendekatan tersebut bersifat instrumental, iaitu sekadar untuk memenuhi syarat yang diwajibkan, sedangkan syarat itu sendiri hanyalah ditambah kemudian dan tidak menjadi keperluan sejak awal,” katanya.
Tambah beliau, sistem pendidikan di luar kerangka sedia ada, khususnya yang sejak awal enggan bergabung, tidak wajar diterima hanya melalui syarat semata-mata.
“Sistem yang tidak menerima asas pendidikan negara tak sepatutnya diiktiraf. Apabila bahasa Inggeris mula digunakan bersama dalam sistem sedia ada, tuntutan pihak sebelum ini menolak bahasa Melayu semakin ketara dan berubah menjadi desakan apabila tidak dilayan.
“Ini berlaku pada isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang mahu ‘menyondol’ masuk ke dalam sistem sedia ada secara agresif dan angkuh. Ini dapat dilihat antaranya dengan mengaitkan sijil UEC dengan keberadaan sijil A-Level,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diwajibkan untuk mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menerusi langkah sedemikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kontroversi berkaitan isu Bahasa Melayu akan dapat dileraikan, sekali gus hal berkaitan syarat kemasukan ke Universiti Awam (UA) juga tidak lagi berbangkit selepas ini.





