
TAWAU – Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau dibuka pukul 5 petang Isnin bagi menempatkan 310 mangsa terjejas kebakaran membabitkan 40 rumah di Kampung Titingan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau yang juga Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said berkata, susulan insiden itu, Tawau diisytiharkan sebagai kawasan bencana kebakaran.
“Pengisytiharan ini dibuat berdasarkan laporan serta maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi berkaitan dalam JPBD,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam infografiknya memaklumkan, seramai 310 mangsa daripada 71 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan terjejas kebakaran yang berlaku pada petang Isnin.
Jumlah itu melibatkan 104 lelaki, 102 wanita selain masing-masing 50 dan 54 kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan.
Terdahulu, BBP Tawau menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 10.15 pagi sebelum bertindak bergegas ke lokasi dan melaporkan 40 rumah setinggan jenis tidak kekal di Kampung Titingan musnah sepenuhnya.


