PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa melepaskan jawatan sebagai Presiden Bersatu dengan peranannya dipangku oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin berkata, terdapat kewajaran Muhyiddin melepaskan jawatannya dalam parti di sebalik kemelut dan kekusutan yang melanda parti dan Perikatan Nasional (PN) seperti dicadangkan rakan Ahli MPT Bersatu lain sebelum ini.
“Seperti ditegaskan sebelum ini, MPT Bersatu menafikan sebarang dakwaan bahawa perkara yang dibincangkan Muhyiddin bersama pimpinan Pas pernah dibawa, dibincang atau dipersetujui dalam mana-mana mesyuarat rasmi MPT Bersatu, termasuk dakwaan berkaitan cadangan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.
“Kenyataan dan tindakan unilateral itu sudah mewujudkan kekeliruan politik, mengganggu kepercayaan dalaman parti serta berpotensi merenggangkan hubungan strategik dalam gagasan PN.
“Ia sekali gus menjejaskan kestabilan gabungan yang sepatutnya dibina atas asas musyawarah dan keputusan kolektif,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Dalam pada itu, Yunus yang juga Ketua Bersatu Bahagian Libaran berkata, kemelut dalaman yang sedang melanda PN ketika ini menuntut kepada kepemimpinan yang matang, berwibawa dan berkeupayaan menyatukan semua komponen gabungan secara berprinsip serta berdisiplin.
Beliau berkata, ketika ini, Hamzah merupakan tokoh paling layak memangku jawatan presiden parti kerana kepemimpinan yang mempunyai kewibawaan, pengalaman serta kebijaksanaan politik untuk menyelesaikan konflik dalaman PN.
“Pada masa sama, (Hamzah mampu) memperkukuh struktur kepemimpinan Bersatu dan membaiki hubungan antara parti-parti komponen dalam gabungan.
“Hamzah dilihat sebagai pemimpin yang cukup berpengalaman menggalas tanggungjawab kepemimpinan Bersatu, membina semula kepercayaan dalaman parti, serta memulihkan hubungan strategik dalam PN secara lebih tersusun, berdisiplin dan berteraskan kestabilan jangka panjang,” katanya.
Beliau berpandangan Muhyiddin sewajarnya memberi tumpuan kepada perkara-perkara perundangan yang sedang dihadapi, termasuk kes berkaitan Jana Wibawa yang dijadualkan disebut semula pada Mac ini.
“Supaya urusan kepemimpinan parti dan pengurusan gabungan politik tidak terus dibebani oleh kontroversi serta polemik yang berpanjangan,” katanya.
Tambahnya, PN perlu dibina sebagai satu gagasan politik yang utuh, stabil dan diyakini rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), bukan gabungan yang terus dibelenggu konflik kepemimpinan, percanggahan kenyataan dan krisis kepercayaan dalaman.
“Bersatu dan PN hanya akan kekal relevan sebagai alternatif kepimpinan negara sekiranya kepimpinan gabungan berpaksikan kepada integriti, kejelasan hala tuju, keputusan kolektif dan penyatuan sebenar, bukan politik persepsi dan tindakan unilateral,” katanya.





