
KUCHING – Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyelar tindakan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang mendesak Setiausaha Agung PBB, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meletak jawatan daripada Kabinet Persekutuan.
Kenyataan keras itu dikeluarkan susulan tindakan Abdul Aziz membangkitkan isu penggunaan perkataan ‘cerai’ daripada Malaysia oleh Alexander baru-baru ini.
Pemuda PBB menyifatkan desakan tersebut sebagai satu percubaan untuk menutup mulut atau memperlekehkan pemimpin dari Sarawak yang lantang memperjuangkan hak negeri itu.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya Abdul Aziz kerana apa yang boleh dianggap sebagai percubaan untuk mendiamkan pemimpin Sarawak yang menyuarakan kekecewaan dan kebimbangan terhadap situasi semasa di mana hak-hak kami sedang dicabar,” jelas kenyataan rasmi tersebut pada Selasa.
Dalam pada itu, sayap parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu turut membidas tindakan segelintir pihak media yang cuba menyembunyikan afiliasi politik Abdul Aziz dengan DAP dengan hanya memetik beliau sebagai ‘pakar perlembagaan’.
Tegas mereka, tindakan sedemikian adalah satu bentuk penipuan dan ketidakjujuran kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Aziz itu jelas bermotifkan politik dan bukannya berdasarkan kepakaran perlembagaan mahupun undang-undang.
Mengulas mengenai hujah ‘tanggungjawab Kabinet’ yang dibangkitkan Abdul Aziz, Pemuda PBB mempersoalkan sama ada pemimpin DAP itu sendiri terikat dengan tanggungjawab parti untuk menafikan atau memudarkan suara dan hak Sarawak.
“Jika begitu kesnya, beliau (Abdul Aziz) yang sepatutnya menyimpan sentimen tersebut untuk dirinya sendiri.
“Kekecewaan dan kenyataan berterus-terang oleh Setiausaha Agung PBB mencerminkan kebimbangan Sarawak terhadap layanan pihak tertentu di Malaya (Semenanjung) yang berniat mencabar hak Sarawak,” tambah kenyataan itu lagi.
Justeru, Pemuda PBB menasihatkan pihak yang tidak bersetuju serta ‘pakar jadian’ supaya mengkaji terlebih dahulu tuntutan Sarawak terhadap sumbernya sebelum membuat sebarang kesimpulan melulu.
Sayap Pemuda itu turut menyatakan pendirian teguh untuk terus bersolidariti bersama Alexander dan Premier Sarawak dalam mempertahankan hak negeri selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 serta Perlembagaan Persekutuan dan Sarawak.





