
KANGAR – Kerajaan negeri Perlis menganjurkan program Road to Perlis Agrofest sebagai acara pemanas badan menjelang penganjuran Perlis Agrofest 2026 yang dijadual berlangsung pada pada April depan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Rahimi Ismail berkata, program tersebut bertujuan menguji kesesuaian lokasi baharu bagi penganjuran aktiviti pertanian serta program berkaitan negeri pada masa hadapan.
“Ia bukan sekadar program ‘teaser’, tetapi platform awal untuk kita menilai lokasi yang lebih lengkap dari segi tarikan pelancongan dan kemudahan sedia ada.
“Kawasan Sungai Batu Pahat ini mempunyai pelbagai produk pelancongan termasuk padang golf, taman ular, taman anggur, lapangan memanah serta beberapa tarikan lain yang berpotensi besar,” katanya di sini hari ini.
Road to Perlis Agrofest disertai Jabatan Pertanian negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan banyak lagi.
Tambah beliau, lokasi tersebut sebelum ini turut menjadi tapak penganjuran pertandingan suara burung peringkat Asia dan kini dilihat sesuai sebagai hab aktiviti agro serta pelancongan negeri.
“Program hari ini dan esok merupakan langkah awal sebelum kita melaksanakan Perlis Agrofest sebenar.
“Kita juga merancang penganjuran Agrofest pada April depan bersempena musim harum manis dengan jangkaan seramai 300,000 pengunjung akan hadir,” katanya.
Jelasnya lagi, jenama Perlis Agrofest dipilih bagi menyeragamkan dengan penganjuran agrofest di negeri lain, namun keunikan Perlis tetap diserlahkan melalui buah harum manis yang sinonim dengan negeri ini.


