
MIRI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Miri berjaya menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes kecurian hamper di sebuah pasar raya MyDaily Mart, Times Square, di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, ASP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 41 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku pada 27 Januari lalu.
“Kecurian tersebut melibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM1,050. Tindakan pantas pihak polis telah membawa kepada penahanan semua suspek dan selain berjaya menemui semula barangan curi di rumah salah seorang daripada mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana melakukan kecurian dalam bangunan.
Tambahnya, kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama orang awam serta komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras jenayah harta benda di daerah ini.
Dalam pada itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan harta benda, khususnya di premis perniagaan.
“Pemilik premis disaran memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mengambil langkah keselamatan tambahan. Orang awam juga diminta agar segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis,” ujarnya.




