PUTRAJAYA– Penggunaan istilah ‘rumah anutan haram’ atau ‘kuil haram’ dalam merujuk kepada struktur ibadat yang dibina tanpa kebenaran adalah tepat daripada sudut bahasa perundangan.
Sehubungan itu, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, perkara tersebut tidak seharusnya dijadikan polemik yang menggadaikan ketegasan undang-undang.
Beliau berpandangan, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak termasuk pimpinan kerajaan negeri cuba menyekat penggunaan istilah yang betul, semata-mata atas alasan sensitiviti kaum yang tidak berasas.
“Sensitiviti kaum ataupun agama tidak boleh secara salah dikompromi atau menggadaikan penggunaan betul istilah bahasa perundangan berkaitan maksud sebenar ‘rumah anutan atau kuil haram’ berkenaan.
“Jika bahasa itu difahami secara betul, maka sensitiviti yang salah itu tidak mungkin muncul,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohamed Haniff Khatri berkata, penggunaan istilah tersebut merujuk secara khusus kepada ketidakpatuhan perundangan dalam pengwujudan struktur binaan tersebut dan bukannya merujuk kepada anutan agama itu sendiri.
Dalam pada itu, beliau yang juga seorang peguam kanan menegaskan tidak seharusnya mana-mana pimpinan melakukan satu cubaan dalam memberi saranan yang seleweng terhadap laras bahasa kebangsaan dan perspektif perundangan.
“Setiap pihak perlu menghormati kaedah maksud bahasa, apatah lagi ia melibatkan Bahasa Melayu yang menjadi laras utama dalam perundangan negara. Penggunaan laras bahasa dari sudut perspektif itu hendaklah difahami dengan lengkap dan betul.
“Justeru, penggunaan frasa tersebut sememangnya tepat merujuk kepada ketidakpatuhan perundangan dalam pengwujudan struktur tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan, penggunaan istilah itu juga sama sekali tidak boleh dimaksudkan sebagai merujuk kepada anutan agama langsung.
“Keharmonian masyarakat tidak seharusnya dibina di atas kekeliruan bahasa yang akhirnya boleh melemahkan penguatkuasaan terhadap pembinaan struktur secara menyalahi undang-undang di tanah swasta mahupun tanah awam.
“Kalau tidak tahu menari, jangan salahkan lantai jongkang-jongket,” katanya.

