
KUCHING – Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menempelak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mendakwa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak mengawal selia sumber minyak dan gas Sarawak.
Pemuda PBB dalam satu kenyataan pada Selasa, melahirkan rasa kesal terhadap pandangan menteri tersebut yang disifatkan sebagai sempit kerana hanya melihat MA63 dari sudut teks semata-mata tanpa mengambil kira konteks, tujuan, dan kepentingan perlembagaan perjanjian pembentukan Malaysia itu.
Menurut kenyataan itu, ketiadaan peruntukan khusus mengenai minyak dan gas dalam MA63 tidak bermakna undang-undang Sarawak serta kerangka perlembagaan mengenai tanah dan sumber asli boleh diabaikan begitu sahaja.
Pemuda PBB menegaskan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 Sarawak kekal berkuat kuasa dan tidak pernah dimansuhkan oleh Dewan Undangan Negeri, malah ia dilindungi perlembagaan memandangkan ordinan itu digubal sebelum pembentukan Malaysia bagi mengawal selia aktiviti minyak dan gas.
Justeru, tindakan menolak MA63 melalui tafsiran literal dianggap mengetepikan hak-hak perlembagaan Sarawak dan menjejaskan semangat hubungan persekutuan-negeri.
Susulan kenyataan Azalina yang dianggap tidak menjawab persoalan sebenar, Pemuda PBB menuntut pencerahan daripada kerajaan Persekutuan sama ada Putrajaya memberikan persetujuan ataupun sokongan rasmi terhadap tindakan undang-undang PETRONAS ke atas kerajaan Sarawak.
Mereka turut mempersoalkan mengapa PETRONAS masih melancarkan cabaran undang-undang sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengiktiraf hak Sarawak dan peranan PETROS sebagai pengagregat gas, seolah-olah pengiktirafan pemimpin nombor satu negara itu tidak mempunyai pemberat.
Di samping itu, Pemuda PBB turut mendesak jaminan daripada Putrajaya agar penyelesaian secara baik melalui libat urus dan rundingan kekal menjadi pilihan utama dalam sebarang pertikaian hak minyak dan gas pada masa hadapan berbanding tindakan mahkamah.
Mengakhiri kenyataan tersebut, sayap pemuda parti itu berikrar untuk terus berdiri teguh di belakang Premier Sarawak dalam mempertahankan dan melindungi hak-hak negeri.


