
SEJAK pengumuman mengenai keputusan Kerajaan MADANI membenarkan kemasukan murid Tahun 1 pada usia 6 tahun melalui ujian psikometrik, pelbagai reaksi tercetus dalam ruang awam.
Ada yang menyokong, tidak kurang yang mempertikaikan.
Namun hakikatnya, perdebatan ini bermula daripada naratif yang silap dari asas.
Apa yang sedang dilaksanakan hari ini bukan dasar baharu, bukan eksperimen pendidikan, dan bukan idea spontan pentadbiran semasa.
Ia adalah kesinambungan kepada dasar yang telah wujud lebih 25 tahun, tetapi terpinggir daripada kefahaman awam.
Pada 7 Mei 1998, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 10/1998 berkaitan Kelonggaran Syarat Kemasukan Kanak-kanak Di Bawah Umur ke Tahun 1.
Pekeliling ini secara jelas membenarkan kemasukan kanak-kanak berusia 5 hingga 6 tahun ke Tahun 1, tertakluk kepada saringan dan penilaian tertentu.
Bezanya, dasar ini jarang dibicarakan secara terbuka, dan lazimnya hanya difahami oleh pihak sekolah serta segelintir ibu bapa yang peka terhadap mekanisme pentadbiran pendidikan.
Jika ditelusuri secara logik, kanak-kanak yang mula bersekolah pada usia 6 tahun sekitar 1998 hingga awal 2000-an, hari ini sudah berusia 30 tahun ke atas.
Mereka telah menjadi profesional, penjawat awam, usahawan, pendidik. Malah ramai antara mereka kini ibu bapa kepada generasi baharu.
Ini sahaja sudah mematahkan dakwaan bahawa dasar ini ‘berisiko’, ‘terburu-buru’, atau ‘tidak terbukti’.
Apa yang dilakukan oleh Kerajaan MADANI hari ini bukan membuka pintu secara rambang, tetapi menstrukturkan semula dasar lama dengan pendekatan yang lebih bertanggungjawab, telus dan saintifik.
Jika sebelum ini penilaian banyak bergantung kepada budi bicara pentadbiran sekolah, pendekatan baharu menekankan ujian psikometrik dan kesiapsiagaan sebenar kanak-kanak.
Ini membawa satu prinsip penting iaitu:
Umur kronologi tidak lagi menjadi satu-satunya ukuran, sebaliknya keupayaan kognitif, emosi dan sosial anak itu sendiri.
Pendekatan ini selari dengan falsafah pendidikan moden yang mengiktiraf bahawa perkembangan kanak-kanak tidak seragam, dan tidak wajar dipaksa ke dalam satu acuan umur semata-mata.
Dalam konteks ini, perbandingan dengan Undi 18 adalah relevan.
Seperti mana Undi 18 tidak menganggap semua anak muda 18 tahun sebagai ‘tidak matang’ secara automatik, dasar ini juga tidak menganggap semua kanak-kanak 6 tahun sebagai ‘belum bersedia’ secara pukul rata.
Kedua-duanya berasaskan prinsip yang sama:
kematangan tidak boleh diukur dengan umur semata-mata, tetapi perlu dinilai melalui keupayaan, kefahaman dan kesediaan sebenar individu.
Yang penting ditegaskan, tiada ibu bapa dipaksa menghantar anak usia 6 tahun ke Tahun 1.
Tiada kanak-kanak dimasukkan tanpa penilaian.
Tiada paksaan sistemik ke atas sekolah.
Apa yang diberikan ialah pilihan, bukan arahan mutlak.
Bagi ibu bapa yang merasakan anak mereka belum bersedia, laluan prasekolah kekal tersedia dan dihormati.
Bagi anak yang menunjukkan kesiapsiagaan awal, sistem kini tidak lagi menghalang potensi mereka hanya kerana faktor umur.
Isu ini menjadi panas bukan kerana dasarnya lemah, tetapi kerana ramai rakyat Malaysia tidak pernah diberi penerangan menyeluruh bahawa dasar ini telah wujud sejak 1998.
Apabila sesuatu yang lama tidak pernah dibincangkan tiba-tiba muncul ke ruang awam, ia kelihatan seolah-olah ‘baharu’.
Sedangkan hakikatnya, ia cuma diangkat semula dengan pendekatan yang lebih tersusun, lebih telus, dan lebih bertanggungjawab.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)





