
SANDAKAN – Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan kini berdepan kekurangan bekalan darah jenis O pada tahap amat kritikal, sekali gus membimbangkan keperluan rawatan pesakit yang bergantung sepenuhnya kepada sumbangan penderma.
Menurut kenyataan pihak HDOK menerusi hantaran Facebook pada Selasa, setiap beg darah yang ada ketika ini menjadi harapan hidup kepada pesakit yang sedang berjuang mendapatkan rawatan, khususnya melibatkan kes kecemasan dan pembedahan.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penderma darah jenis O diseru agar tampil menghulurkan bantuan dengan menderma darah di Tabung Darah Hospital Duchess of Kent yang terletak di Aras 4.
Tabung darah berkenaan dibuka bermula hari ini dari pukul 8 pagi hingga 9 malam, setiap Isnin hingga Jumaat, bagi memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat untuk menyumbang.
Pihak hospital turut mengalu-alukan kehadiran seluruh warga Sandakan untuk meluangkan sedikit masa dan tenaga demi membantu menampung keperluan bekalan darah yang semakin meruncing.
“Setitis darah anda mungkin menjadi nafas terakhir yang menyelamatkan satu nyawa.
“Bantuan kecil daripada anda membawa makna yang sangat besar buat mereka yang sedang bergantung harap,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, pihak hospital merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan kerjasama masyarakat, sambil berharap setiap kebaikan yang dihulurkan dibalas dengan ganjaran berlipat ganda.



