
KINABATANGAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan semua peti undi dari pusat mengundi akan tiba di pusat penjumlahan undi (PPU) Dewan Sri Lamag dengan selamat.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, setiap pergerakan peti undi dipantau rapi dengan kawalan keselamatan mencukupi bagi memastikan ketelusan, integriti serta tiada sebarang unsur spekulasi wujud.
“Kita ada polis bersama kita serta ada agen-agen parti yang akan ikut bersama dan itu untuk memastikan bahawa tidak timbul sebarang persepsi yang tidak baik dalam kalangan rakyat atau sebagainya.
“Kita akan pastikan semuanya berjalan lancar, jangan risau dengan integriti atau sebagainya sebab bekalan elektrik dan internet kita sedia,” katanya kepada media pada Hari Pengundian Awal di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, pada Selasa.
Seramai 189 polis dan pasangan dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di IPD Kinabatangan manakala tujuh lagi akan melakukan undi pos.
Menurut Ramlan, sebanyak lapan lokasi pengundian dikenal pasti memerlukan pengangkutan helikopter manakala satu lokasi iaitu PDM Tundun Bohangin hanya boleh diakses menggunakan bot bagi memastikan semua peti undi dapat dihantar ke PPU.
“Kita telahpun mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam PRN yang baru ini di mana ada satu pusat mengundi kita di Sekolah Kebangsaan Keramuak di Kuamut tidak dapat kita bawa keluar walaupun menggunakan helikopter kerana keadaan cuaca yang agak buruk.
“Jadi kita telahpun mengambil tindakan iaitu sebelum ini pusat pengundian tersebut kita tutup pada pukul 3 petang tapi kini kita telah awalkan pada pukul 2 petang.
“Jadi saya harap pengundi-pengundi di kawasan itu peka dengan perubahan berkenaan sebab kita nak pastikan peti-peti undi dapat kita bawa keluar seawal mungkin,” ujarnya.
Tambah Ramlan, dengan mengambil kira faktor cuaca dan lokasi pusat pengundian yang jauh, SPR menjangkakan keputusan PRK akan dikeluarkan pukul 10 malam, pada Sabtu ini.
” Sejak hari pertama kempen hingga semalam, tiada sebarang aduan diterima berkaitan kesalahan-kesalahan sepanjang pilihan raya,” jelasnya.






